Lebih 90 peratus pemandu e-Hailing, teksi belum carum Perkeso

perkeso
perkeso
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 90 peratus daripada kira-kira 740,000 pemandu teksi dan penyedia perkhidmatan e-hailing di seluruh negara masih belum mendaftar untuk caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata sehingga kini hanya 9,644 pemandu teksi dan e-hailing yang membuat pendaftaran caruman skim itu sejak Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) dikuatkuasakan 1 Jun, 2017.

"Saya harap lebih ramai pemandu yang akan berdaftar dan bayar caruman. Kita tak jangka apa yang akan berlaku dan skim inilah yang akan melindungi mereka jika berlaku apa-apa.

"Satu daripada sebab ramai yang tak mencarum kerana mereka anggap caruman sebagai bebanan. Sebenarnya, faedah yang diperoleh mereka kelak adalah jauh lebih baik," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran MyDrebar dan Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Perkeso.

Mohammed Azman berkata, ketika ini Perkeso telah memberi pelbagai kelonggaran termasuk mempermudahkan cara bayaran caruman dengan memperkenalkan bayaran caruman secara bulanan.

"Kita mempunyai empat pelan yang mana pemandu teksi dan e-hailing boleh memilih untuk mencarum serendah RM13.10 sebulan daripada jumlah RM157.20 setahun bagi pendapatan bulanan diinsuranskan RM1,050 sebulan.

"Kita berikan tempoh untuk pendaftaran hingga Jun tahun ini dan selepas ini mungkin kita akan ambil tindakan kompaun serta pendakwaan undang-undang kepada mereka yang gagal mendaftar. Itu jalan terakhir," katanya.

Mohammed Azman berkata, sehingga 31 Dis lepas, sebanyak 59 kes tuntutan kemalangan di bawah skim itu telah diterima Perkeso dengan melibatkan kos pampasan sebanyak RM203,816.42.

Artikel Berkaitan:

"Tuntutan itu meliputi pelbagai faedah termasuk kematian dan hilang upaya kekal dan sementara serta kemalangan," katanya. - Bernama