Usah perlekeh jika tidak mampu perbaiki

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

IBARAT laut yang ada pasang surutnya, apabila timbul isu yang menyentuh sensitiviti satu-satu kaum, akan wujudlah suasana tegang sehingga menggugat keharmonian rakyat.

Inilah cabaran dihadapi negara berbilang kaum seperti Malaysia. Usaha menyatupadukan kaum bukanlah satu tugas yang mudah, apatah lagi setiap kaum mempunyai agenda tersendiri serta mahu menuntut hak masing-masing.

Ibarat adik-beradik tinggal di dalam sebuah rumah, adakalanya bergaduh tetapi tetap ada rasa sayang. Penulis percaya lebih ramai rakyat Malaysia mahukan suasana harmoni terus kekal sampai bila-bila di negara ini berbanding golongan yang cuba menimbulkan keadaan kucar-kacir.

Banyak usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum sudah dilakukan di negara ini. Tidak terhad kepada program turun padang anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), malah semangat keharmonian kaum turut dipaparkan menerusi televisyen dan platform lain seperti drama, muzik dan sukan.

Cuma, sejak kebelakangan ini, usaha tersebut tercalar apabila wujudnya isu-isu dicetuskan pihak tertentu sehingga membakar api perkauman seperti jawifobia, tanglung dan pesta ponggal.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri menyatakan kekecewaan dengan apa yang berlaku mutakhir ini.

“Kita perlu menghormati satu sama lain kerana perbezaan adat dan budaya dalam kalangan masyarakat merupakan aset berharga bagi negara,” kata beliau ketika mengulas kontroversi tanglung yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1, Selangor baru-baru ini.

Cetek ilmu

Artikel Berkaitan:

Isu perkauman tercetus apabila wujud salah faham yang ditimbulkan segelintir puak ekstremis terhadap satu-satu kaum, ditambah dengan sikap prasangka dan cuba mengapi-apikan isu sensitif.

Ditambah lagi dengan kecetekan ilmu kita menyebabkan isu remeh diperbesar dan kemudian terpengaruh dengan provokasi disebarkan menerusi laman sosial.

Pakar Sosiologi, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, sikap syak wasangka antara kaum ini berlaku disebabkan kurang pemahaman terhadap budaya lain.

“Ilmu pengetahuan, kefahaman dan penerimaan terhadap sesuatu kaum perlu diterapkan dalam setiap anggota masyarakat. Masyarakat kini kurang peka mengenai perkara itu. Kerana itu, jarak hubungan antara kaum semakin renggang,” kata Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

Tidak salah untuk pertahan bangsa sendiri tetapi kenalah pastikan setiap tindakan tidak menggores hati kaum lain. Kita ada Perlembagaan negara, maka setiap kaum hormatilah. Sudah berpuluh tahun Malaysia didiami oleh rakyat berbilang bangsa, dan sampai bila-bila pun tetap akan ada Melayu, Cina, India dan kaum minoriti lain di negara ini.

Melihat kepada masalah yang berlaku kini, apakah peranan kita? Adakah kita perlu duduk diam sambil berkata dalam hati: “Lantaklah, dia orang punya pasal.”

Ya, lebih baik kita berdiam diri tanpa perlu ‘mencurahkan lagi minyak pada api’. Bagaimanapun, adalah lebih terbaik sekiranya kita sama-sama membantu membina semula semangat keharmonian di negara ini.

Menyedari perkara itu, Sinar Harian mengambil insiatif menyediakan platform menerusi kempen Uninstall Kebencian: Reboot #MalaysiaHarmoni untuk rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian.Baru diperkenalkan 10 Januari lalu, beribu-ribu rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik sudah menyatakan sokongan terhadap usaha murni ini. Bahkan akhbar berbahasa Cina yang selama ini skeptikal juga menyokong.

Namun begitu, setiap usaha murni pasti wujud suara-suara sumbang. Terpulanglah, kalau tak mampu untuk perbaiki perpaduan kaum yang semakin terhakis di negara ini, tak perlulah pula merosakkan usaha orang lain yang mahu melakukan sesuatu untuk kebaikan anak cucu masa depan.

Ayuh, buang jauh-jauh kebencian kita kepada bangsa lain. Tidak kira apa bangsa kita, mari kita mulakan kempen reboot!