Ratusan serpihan tulang manusia ditemukan dalam kolam

Lebih 200 serpihan tulang manusia ditemui dalam sebuah kolam di daerah Bang Khae, Bangkok. - Foto Agensi
Lebih 200 serpihan tulang manusia ditemui dalam sebuah kolam di daerah Bang Khae, Bangkok. - Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK - Hampir 300 serpihan tulang dikeluarkan dari sebuah kolam berhampiran rumah seorang lelaki yang didakwa membunuh dan menyembunyikan mayat teman wanitanya.

Penyelam, Anusorn Pongkesa berkata, kebanyakan 288 tulang yang dijumpai 20 penyelam dalam pencarian selama lima jam itu adalah tulang manusia.

Khamis lalu, pihak berkuasa menemui rangka manusia yang dibalut dengan pakaian dan cadar serta disembunyikan di bawah objek logam besar diikat pada dumbel menggunakan rantai kira-kira lima meter dari kolam tersebut.

Usaha pencarian di dalam kolam diarahkan selepas saksi meyakinkan polis bahawa mungkin terdapat dua lagi mayat dalam kolam berdekatan rumah suspek Apichai Ongwisit, 40, di daerah Bang Khae, Bangkok.

Menurut sumber, polis merancang untuk mengeringkan kolam untuk mencari lebih banyak bukti kerana mereka percaya sekurang-kurangnya tiga orang masih hilang.

Serpihan tulang akan dihantar ke Hospital Siriraj untuk diperiksa dan dikenal pasti.

Selain kerusi batu, pintu logam turut ditemukan dan dipercayai digunakan sebagai pemberat salah satu mayat yang dibuang ke dalam kolam kerana terdapat kabel elektrik padanya.

Difahamkan, kes bermula Julai tahun lalu apabila Ongwisit dan teman wanitanya, Kik, 22, memfailkan aduan kepada polis menggesa pihak berkuasa menyiasat individu yang didakwa menyerang wanita itu secara seksual.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun tidak lama kemudian, keluarga Kik melaporkan kehilangannya dan ketika usaha mencari dilakukan polis menahan seorang lelaki bernama Chalermchai berusia 50-an yang memberi petunjuk penting mengenai kehilangan mangsa.

Awal bulan lalu, Ongwisit ditahan selepas polis menemui mayat Kik yang dibungkus dengan beg plastik dan dikebumikan di sekitar rumahnya.

Mayat mangsa dikenal pasti oleh keluarganya berdasarkan tatu gambar ikan di belakang badannya. - Agensi