Permaisuri Zarith Sofiah Opera House tarikan baharu di JB

Gambar dikongsikan di Facebook rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Gambar dikongsikan di Facebook rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Diinspirasikan daripada bentuk berlian mahkota permaisuri, 'Permaisuri Zarith Sofiah Opera House' yang dibuka secara rasminya kepada umum malam ini, bakal menjadi tarikan terbaru bandar raya ini terutama bagi pelancong yang berminat dengan seni dan budaya.

Panggung seluas 114,430 kaki persegi dan siap dibina pada tahun lepas itu boleh memuatkan lebih 500 penonton yang mahukan kelainan dan merasai sendiri pementasan seni dan budaya berciri premium seperti muzikal, orkestra mahupun balet.

Berkenan merasmikan panggung berkenaan pada malam ini ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Turut berangkat pada majlis perasmian itu, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan anakanda baginda, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani dan barisan Exco kerajaan negeri.

Dengan perkenan daripada Sultan Ibrahim, panggung opera berkenaan diberi nama sempena Permaisuri Raja Zarith Sofiah.

Panggung opera itu terletak di sebelah R&F Mall. - Bernama

Artikel Berkaitan: