X

Kindly register in order to view this article
!

Penduduk bimbang pembunuh bersiri bebas dari penjara

Wood kini mengikuti kakaknya ke sebuah kawasan kejiranan di Fort Mill, Carolina Selatan selepas dibebaskan dari penjara, Khamis lalu. FOTO: Kent County Sheriff’s Office
A
A

CAROLINA SELATAN – Seorang pembunuh bersiri akhirnya dibebaskan selepas lebih 30 tahun menjalani hukuman penjara.

Catherine Wood, 57, yang juga seorang bekas pembantu jururawat berpindah mengikut kakaknya tinggal di sebuah kejiranan di Fort Mill tetapi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penghuni di situ.

Presiden persatuan penduduk, Tom Carter berkata, beliau bercadang menghubungi lembaga pemilik rumah dan peguam untuk melihat tindakan yang dapat dilakukan mengenai keadaan itu, lapor Metro.co.uk yang memetik sumber.

“Kami tidak tahu apa pilihan yang kami ada, kalau ada pun kami cuma ada Facebook persatuan penduduk yang boleh kami post mengenai kedatangannya namun kami tidak tahu jika dia mampu memberi ancaman kepada kami.

“Dia telah menjalani hukuman penjara selama 30 tahun. Saya rasa mungkin dia telah berubah. Saya pun nak menjatuhkan hukuman atas kesalahannya namun kami di sini perlu mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Terdahulu, Wood dijatuhkan hukuman penjara kerana mempunyai kaitan dalam kes pembunuhan sekurang-kurangnya lima individu di Rumah Penjagaan Jururawat Alpine Manor di Walker, Michigan bersama kekasihnya, Gwendolyn Graham.

Mangsa yang dibunuh dikenali sebagai Mae Mason, 79; Edith Cook, 98 ; Marguerite Chambers, 60 ; Myrtle Lace, 95, dan Belle Burkhard, 74.

Wood memberitahu pendakwa raya bahawa dia hanya melihat manakala Graham yang melakukan pembunuhan tersebut.

Dia juga telah dijatuhkan hukuman penjara selama 40 tahun namun dibebaskan dengan jaminan parol pada Khamis lalu.

Keluarga mangsa pembunuhan itu sangat menentang pembebasan Wood kerana bimbang wanita itu akan mengulangi perbuatannya.