X

Kindly register in order to view this article
!

Johor peruntuk RM1 juta pulihkan kawasan Air Terjun Kota Tinggi

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal menyerahkan geran hak milik tanah kepada wakil Ketua Blok 8 Felda Lok Heng Selatan Sumari Jadi, 56, dan isterinya Ngatinam Karchin, 54, pada Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah Felda Lok Heng Selatan di Dewan Terbuka Felda Lok Heng Selatan hari ini. - Foto Bernama
A
A

KOTA TINGGI - Kerajaan Johor memperuntukkan RM1 juta bagi kerja-kerja membaik pulih kawasan peranginan Air Terjun Kota Tinggi yang ditutup sejak 15 Disember lepas yang terjejas akibat dilanda banjir.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, jumlah berkenaan merangkumi kerja-kerja pembaikan infrastruktur di kawasan pelancongan itu.

"Kerajaan negeri telah meluluskan RM1 juta untuk kerja pembaikan dan air terjun terpaksa tutup sementara sehingga kerja pembaikan dijalankan.

"Kalau peruntukan berkenaan dapat segera, dalam masa tiga minggu hingga sebulan, saya harap kawasan air terjun itu dapat dibuka semula," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan geran hak milik tanah peneroka Felda Lok Heng Selatan dekat sini hari ini.

Turut hadir Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi, Saipol Rahman Amat.

Menurutnya, kerajaan negeri akan berhubung terus dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sekiranya peruntukan yang telah diberikan tidak mencukupi untuk kerja pembaikan kawasan peranginan itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal menyerahkan geran hak milik tanah kepada Peneroka Abas Ariff, 66, pada Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah Felda Lok Heng Selatan di Dewan Terbuka Felda Lok Heng Selatan hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal menyerahkan geran hak milik tanah kepada Peneroka Abas Ariff, 66, pada Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah Felda Lok Heng Selatan di Dewan Terbuka Felda Lok Heng Selatan hari ini. - Foto Bernama

Dalam perkembangan lain, seramai 243 peneroka hari ini menerima hak milik geran tanah merangkumi 243 plot hak milik bagi tapak rumah dan 336 plot hak milik tanah bagi tapak ladang.

Sahruddin berkata, permohonan untuk mengeluarkan hak milik tapak ladang dan rumah bagi peneroka peringkat dua telah diluluskan dalam mesyuarat pada tahun lepas.

"Jumlah keluasan keseluruhan yang diterima (setiap peneroka) masih dalam skala lebih kurang 10 ekar (empat hektar). Pembayaran Notis 5A peneroka Felda Lok Heng Selatan peringkat dua adalah sebanyak RM102,735 dan pihak Felda sendiri telah menyelesaikan bayaran ini pada Oktober tahun lepas," katanya.

Beliau berkata, kerajaan amat memahami malah prihatin tentang perkara ini dan sedaya upaya akan berusaha memastikan sebarang isu berkaitan hak milik tanah diselesaikan pada kadar segera.

"Bagaimanapun, harus diketahui dan difahami bahawa semua urusan berkaitan dengan hak milik tanah ini merupakan perkara yang memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit bukan sahaja untuk tanah-tanah Felda.

"Sesungguhnya, kerajaan negeri amat sedar bahawa tanah merupakan aset yang sangat penting dan bernilai bukan sahaja kepada para peneroka, malah kepada sesiapa sahaja di antara kita," kata beliau dalam ucapannya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!