X

Kindly register in order to view this article
!

Matta tingkat aktiviti promosi ekopelancongan tarik pelancong China

A
A

KUALA LUMPUR - Pelancong China yang berkunjung ke Malaysia kini dilihat lebih cenderung ke arah sektor ekopelancongan untuk menikmati keindahan alam semula jadi negara berbanding menjadikannya sebagai destinasi membeli belah sebelum ini.

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Datuk Tan Kok Liang berkata, berikutan itu pihaknya akan membanyakkan lagi aktiviti promosi ekopelancongan bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong khususnya dari China.

Katanya, ia juga selaras dengan langkah kerajaan yang mengecualikan visa selama 15 hari kepada pelancong dari negara itu dan India, yang dilaksanakan selama setahun bermula awal tahun ini.

"Sekarang trend pelancong dari China ialah mereka suka dengan aktiviti lasak di kawasan luar bandar yang ada pelbagai tarikan antaranya aktiviti menyelam, pemandangan, ‘street food’ serta tinggal di kampung untuk merasai suasana hidup luar bandar, khususnya mereka yang suka buat video,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Seminar Kebudayaan dan Promosi Pelancongan dan Padanan Perniagaan Malaysia-China di sini hari ini.

Kok Liang berkata, MATTA sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam menarik kehadiran pelancong asing dan turut sama optimis dengan sasaran kementerian itu untuk menarik kehadiran 4 juta pelancong dari negara Tembok Besar itu ke Malaysia tahun ini berbanding lebih 3.2 juta tahun lepas. - Bernama