Polis berkas Geng Sampa samun warga asing

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu (tiga, kanan) berbual mesra bersama anggota yang menerima sijil penghargaan pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di IPD Jasin, di sini.
A
A

JASIN - Polis berjaya memberkas sekumpulan empat lelaki dikenali sebagai Geng Sampa yang dipercayai melakukan jenayah samun terhadap warga asing di sebuah ladang estet, di Simpang Bekoh di sini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 43 tahun itu ditahan dalam tempoh kurang 24 jam di lokasi berasingan sekitar Jasin dan Tangkak.

Menurutnya, kesemua suspek adalah warga tempatan dan penahanan dilakukan pada 30 dan 31 Disember lalu di dua lokasi berasingan sekitar Jasin dan Tangkak.

Katanya, ia susulan laporan polis dibuat oleh seorang lelaki berusia 23 tahun dipercayai pengurus ladang terbabit pada 30 Disember lalu yang mendakwa rumah kongsi pekerjanya didatangi sekumpulan lelaki dengan penutup muka kira-kira jam 10 malam, 29 Disember lalu.

"Ketika itu rumah kongsi berkenaan didiami oleh empat pekerja dari Bangladesh dan seorang warga Indonesia.

"Kesemua mereka dikatakan diikat dan dipukul dengan kayu dan parang sehingga mengalami kecederaan pada bahagian muka manakala duit, telefon bimbit dan pasport milik mangsa turut dilarikan,” katanya.

Beliau berkata di dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di IPD Jasin, di sini.

Tambah Arshad lagi, kumpulan terbabit dipercayai menjadikan pekerja warga asing sebagai sasarannya dan baharu sahaja bergiat aktif di negeri ini.

Katanya, hasil soal siasat turut mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes gaduh dan mendatangkan kecederaan.

"Dengan penangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan kes ini tidak sampai 24 jam dan kami turut merampas beberapa telefon bimbit milik mangsa dengan anggaran kerugian kira-kira RM1,500.

"Kesemua suspek kini masih direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) kerana mengakibatkan kecederaan," katanya.