Tindakan tegas peniaga naik harga tidak munasabah: KPDNHEP

Saifuddin - Foto fail Bernama
Saifuddin - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah sempena Tahun Baru Cina.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementerian tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang melakukan pencatutan atau tidak patuh kepada Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2020.

"Rampasan serta tindakan tegas dalam bentuk denda atau penjara juga akan dikenakan," katanya dalam satu kenyataan susulan aduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkenaan kenaikan harga sayuran baru-baru ini.

Beliau turut mengingatkan peniaga bahawa SHMMP Tahun Baharu Cina 2020 akan berkuatkuasa mulai 20 Januari hingga 2 Februari ini dengan harga maksimum ditetapkan bagi 16 barangan keperluan utama.

"Lebih 2,300 pegawai penguatkuasa KPDNHEP akan aktif memantau semua premis perniagaan bagi memastikan kepatuhan dengan SHMMP Tahun Baharu Cina 2020 dan tidak berlaku pencatutan," katanya.

Saifuddin Nasution berkata, pegawai penguatkuasa KPDNHEP telah diarahkan untuk memberi Notis 21 di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 kepada premis-premis yang menaikkan harga bagi mendapatkan penjelasan mengenai punca kenaikan.

"Pengguna juga boleh menyumbang kepada usaha ini dengan melaporkan kepada KPDNHEP melalui mana-mana sembilan saluran aduan termasuk saluran WhatsApp di talian 019-2794317," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: