Elak guna sekolah menengah terlibat peperiksaan: Nadma

 Zakaria (tengah) bersama peserta yang terlibat dalam Majlis Perasmian Penutup Latihan Pengurusan Pengoperasian Bencana Peringkat Negeri.
Zakaria (tengah) bersama peserta yang terlibat dalam Majlis Perasmian Penutup Latihan Pengurusan Pengoperasian Bencana Peringkat Negeri.
A
A
A
SEREMBAN - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menasihatkan kepada pihak berkuasa agar tidak menggunakan mana-mana sekolah menengah sebagai pusat pemindahan.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara, Zakaria Shaaban berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada semua agensi pengurus bencana di peringkat negeri agar tidak menggunakan sekolah menengah yang terlibat dengan peperiksaan.

"Perkara ini telah kita maklumkan dalam mesyuarat, kalau boleh cuba elakkan daripada mengguna sekolah menengah sebagai pusat pemindahan bencana, terutamanya sekolah menengah yang terlibat dalam peperiksaan SPM atau STAM.

"Kalau boleh kita cuba cari alternatif lain yang boleh menggantikan tempat sebagai pusat pemindahan sementara, bagaimanapun jika keadaan terdesak kita boleh menggunakan sekolah tersebut dengan hanya mengambil ruang bangunan kelas yang tidak digunakan untuk peperiksaan.

"Penyelarasan pusat pemindahan telah kita lakukan dan pihak Jabatan Pendidikan juga sudah mempunyai senarai sekolah yang sesuai untuk dijadikan pusat pemindahan sekiranya berlaku bencana di kawasan-kawasan terlibat seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Latihan Pengurusan Pengoperasian Bencana Peringkat Negeri di Klana Resort dekat sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri, Fazlisyah Muslim.

Dalam pada itu, Zakaria juga memberitahu pihak pengurusan bencana melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan memantau haiwan ternakan sekiranya berlaku bencana banjir.

Katanya, pembentangan mengenai pelan perancangan untuk menyelamatkan haiwan ternakan dibentangkan dalam mesyuarat di peringkat pusat dan mereka mempunyai fokus tertentu jika berlakunya bencana.
Artikel Berkaitan:


"Kita ada menerima laporan mengenai kematian haiwan ternakan sehingga menyebabkan pemilik haiwan mengalami kerugian yang agak besar,” katanya.

Pengurusan bencana melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut akan memantau haiwan ternakan sekiranya berlaku bencana banjir.