Kaji punca sokongan rakyat merosot

Mukhriz bersalaman dengan penjawat awam Kedah ketika hadir perhimpunan pagi dan merasmikan Hari Bertemu Pelanggan di Dataran Medan Bandar di sini hari ini.
Mukhriz bersalaman dengan penjawat awam Kedah ketika hadir perhimpunan pagi dan merasmikan Hari Bertemu Pelanggan di Dataran Medan Bandar di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan membuat keputusan dasar yang popular semata-mata untuk meraih sokongan rakyat atau pengundi seperti dilakukan kerajaan terdahulu.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tidak mustahil ia antara punca menyebabkan sokongan rakyat terhadap kerajaan merosot selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, kajian mendalam harus dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kemerosotan sokongan rakyat susulan kekalahan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis semalam.

“Saya tak boleh kata ya, kena kaji betul-betul. Keadaan kerajaan PH sekarang ini perlu memilih antara dua, adakah mahu buat keputusan yang betul dan beri manfaat jangka panjang kepada rakyat atau buat keputusan popular.

"Biasanya, kita pilih yang popular untuk menang PRU (pilihan raya umum) tetapi kalau beri impak jangka masa panjang termasuk bebanan hutang kepada generasi akan datang, saya ingat kerajaan sekarang tak sanggup lakukan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan penjawat awam Kedah dan merasmikan Hari Bertemu Pelanggan di Dataran Medan Bandar di sini hari ini.

Mukhriz berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kemerosotan sokongan rakyat terhadap kerajaan PH berpunca daripada keputusan atau dasar diumumkan beberapa menteri Kabinet yang dianggap pelik dan menimbulkan kemarahan rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga harus mengatasi kelemahan dan kepincangan dalam PH sama ada berkaitan pendekatan, dasar atau komunikasi yang menyebabkan penolakan rakyat.

“Semua aspek harus ambil kira dalam menghadapi kemungkinan akan berlaku lagi PRK sebelum PRU. Walaupun ia keputusan yang mengecewakan namun kita terima pilihan rakyat kerana rakyat sentiasa betul dalam memilih wakil rakyat, kita harus bermuhasabah diri,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kimanis kekal milik BN, majoriti lebih besar

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan PH bersama Warisan bersedia mendengar rungutan rakyat berkaitan kelemahan kerajaan sedia ada dan melakukan perubahan atau penambahbaikan untuk menambat semula hati rakyat.

“Kita (PH) mewarisi negara dalam keadaan yang teruk dari kerajaan sebelum ini, semakin hari semakin jelas apabila pendedahan dibuat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) baru-baru ini, ratusan juta lesap, duit yang sepatutnya digunakan untuk kebajikan rakyat,” katanya.