34 tokan masuk 'jerat' polis

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan kegiatan pengedaran dan menyekat kemasukan dadah dengan tangkapan seramai 34 individu membabitkan sitaan mencecah RM110,421 menerusi Ops Damn Tokan 5.0 semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, operasi bermula jam 12 tengah malam itu dijalankan di 15 daerah seluruh Selangor.

Menurutnya, hasil operasi ini, pihaknya berjaya menahan 34 individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 18 hingga 56 tahun kerana disyaki berperanan sebagai pengedar dadah.

"Kita turut menyita tiga buah kereta, tujuh buah motosikal, wang tunai serta dua unit telefon bimbit yang kesemua dianggarkan bernilai RM110,421.

"Siasatan awal mendapati, rata-rata suspek terbabit dipercayai telah terlibat dengan kegiatan pengedaran sejak enam bulan hingga tiga tahun. Malah ada antara suspek memiliki 22 rekod jenayah lampau," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, polis percaya suspek mula aktif selepas terpengaruh dengan rakan selain faktor tekanan dan ingin mencuba.

Tambahnya, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 sehingga Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 selain tindakan Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Katanya, PDRM khususnya JSJN akan sentiasa menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan proaktif dalam usaha memerangi sindiket pengedaran dadah secara habis-habisan dengan mengesan dan menangkap tokan yang dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan agresif menerusi Ops Damn Tokan 5.0 ini juga adalah antara usaha JSJN memerangi dadah dan memastikan persekitaran masyarakat bebas dari aktiviti pengedaran dadah," katanya.