Ahli Parlimen didakwa salah guna kuasa

Tony (empat, kiri) bersama Lai Hoa (enam, kiri) membantah tindakan Lip Eng yang didakwa menyalahgunakan kuasa.
Tony (empat, kiri) bersama Lai Hoa (enam, kiri) membantah tindakan Lip Eng yang didakwa menyalahgunakan kuasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Bertindak Suara Rakyat mendakwa Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menyalahgunakan kuasa bagi melakukan perobohan sebuah restoran bersebelahan Apartment Pearl Vista, Kepong.

Pengerusinya, Tony Tan berkata, Lip Eng cuba bertindak sesuka hati apabila mengeluarkan arahan tersebut tanpa mendapat sebarang persetujuan atau kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Pengusaha restoran berkenaan beroperasi di sini sejak 10 tahun lalu malah pihak terlibat turut mempunyai lesen perniagaan yang sah daripada DBKL.

“Tindakan Lip Eng ini amat mengejutkan memandangkan arahan perobohan sepatutnya datang daripada DBKL dan bukannya daripada pihak beliau,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Sementara itu, pengusaha restoran terlibat, Teo Lai Hoa berkata, dia merujuk permasalahan itu kepada DBKL namun pihak berkenaan mengarahkan supaya satu perbincangan dijalankan bersama Pejabat Ahli Parlimen Kepong.

"Saya juga diberi tempoh sehingga bulan hadapan untuk mengosongkan restoran sebelum tindakan perobohan diambil. Tiada sebarang surat pemakluman diberikan kepada saya dan hanya mengetahui mengenai perkara ini menerusi laporan daripada media,” katanya.

Penasihat Undang-Undang kepada Lai Hoa, Kamaruddin Ahmad berkata, sekiranya pihak terlibat masih mengganggu perniagaan anak guamnya, satu perintah injuksi mahkamah akan diambil terhadap kes itu.

"Sehingga hari ini, DBKL tidak mempunyai sebarang halangan untuk membenarkan pengusaha restoran menjalankan perniagaan di lokasi ini malah lesen perniagaannya turut disambung sehingga tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kenapa restoran ini perlu dirobohkan sedangkan ia tidak memberi sebarang masalah kepada mana-mana pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Lip Eng ketika dihubungi Sinar Harian menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan beliau bertindak atas aduan daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartment Pearl Vista yang kurang senang dengan operasi restoran itu.

"Operasi perniagaan restoran berkenaan menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas malah turut mengganggu ruang parkir penduduk setempat di sini. Saya sendiri turun ke sana dan melihat keadaan di situ. Lokasi berkenaan amat padat malah ruang parkir juga terhad,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini DBKL memberikan lesen peniagaan kepada dua penjaja di lokasi berkenaan namun pihak terlibat bertindak menyewakan lesen itu kepada pengusaha restoran terbabit dengan nilai RM9,500 sebulan.

“Ini adalah salah kerana penjaja berkenaan tidak boleh sewakan lesen kepada pihak lain. Malah mereka hanya bayar RM300 sebulan kepada DBKL dan mengenakan bayaran RM9,500 kepada pengusaha restoran itu.

“Bila ditanya, mereka cuba berselindung dengan katakan mereka berdua adalah rakan kongsi dan disebabkan itulah saya mintak DBKL tarik balik lesen mereka,” katanya.

Lip Eng berkata, tiada sebarang isu melibatkan penyalahgunaan kuasa yang timbul memandangkan pihaknya bertindak atas rungutan daripada penduduk setempat di kawasan tersebut.