Halang virus ASF masuk Malaysia

Tze Tzin (kiri) bersama Ketua Pengarah Maqis, Saiful Yazan Alwi (tengah) menunjukkan daging babi yang dirampas di LTAPP.
Tze Tzin (kiri) bersama Ketua Pengarah Maqis, Saiful Yazan Alwi (tengah) menunjukkan daging babi yang dirampas di LTAPP.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara dan akan pulang terutamanya pada musim perayaan Tahun Baru Cina dinasihatkan agar tidak membawa pulang daging babi selain makanan berasaskan daging haiwan tersebut.

Selain itu, virus tersebut dikesan dibawa masuk oleh pelancong luar negara yang membawa masuk daging babi atau produk hiliran berasaskan daging tersebut seperti yang berlaku di negara Asia lain.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, kerajaan berusaha membendung virus African Swine Fever (ASF) bawaan daging babi yang dikesan dari luar negara sejak September 2018 masuk ke Malaysia.

Menurutnya, sebagai langkah pencegahan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga telah mengeluarkan larangan pengimportan daging babi dan produk babi dari 13 negara antaranya China, Vietnam, Laos, Hong Kong, Korea dan Indonesia.

“Sehingga hari ini, tiada kes melibatkan virus ASF dikesan di Malaysia. Ini yang kita mahu jaga agar virus ASF tidak terlepas masuk seperti di Indonesia, Filipina, China dan Thailand.

“Kita berusaha agar virus itu tidak menular dengan melarang kemasukan produk berisiko tinggi antaranya babi hidup, daging babi segar, babi sejuk beku, produk babi dalam tin dan sosej,” katanya pada sidang akhbar Program Kesedaran Keselamatan Makanan Dalam Negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini semalam.

Tze Tzin (dua dari kanan) bersama pegawai Maqis memeriksa bagasi pelancong luar di LTAPP, Bayan Lepas semalam.
Tze Tzin (dua dari kanan) bersama pegawai Maqis memeriksa bagasi pelancong luar di LTAPP, Bayan Lepas semalam.

Tze Tzin berkata, kerajaan juga melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mempertingkatkan pemeriksaan di semua pintu masuk negara untuk menghalang kemasukan virus tersebut.“Maqis menambah anggota selain waktu operasi terutamanya pada musim perayaan ini.

Artikel Berkaitan:

“Maqis juga bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia di semua pintu masuk.

“Pada tahun 2019, Maqis merampas 5,731 kilogram (kg) daging dan produk babi iaitu 2,497kg daging babi serta 3,232kg produk babi,” katanya.

Beliau berkata, selain ASF, dua kes melibatkan virus Foot Mouth Disease (FMD) dibawa melalui daging lembu dari Thailand.

“Sebanyak 185 ekor lembu yang ada tanda klinikal atau jangkitan FMD dikuarantin di premis kuarantin swasta di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Rantau Panjang, Kelantan selama 28 hari.

“Kesemuanya akan dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.