Bersih kubur Tok Kenali berusia 80 tahun

Gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Tok Kenali di Kubang Kerian.
Gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Tok Kenali di Kubang Kerian.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebuah kubur yang dianggarkan berusia 80 tahun yang merupakan milik seorang tokoh ulama terkenal di Nusantara dibersihkan secara gotong-royong di Tanah Perkuburan Islam Tok Kenali, Kubang Kerian di sini semalam.

Kerja membersihkan kawasan kubur Allahyarham Tok Kenali atau nama sebenarnya, Muhammad Yusuf Ahmad itu disertai lebih 120 individu terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan.

Pengerusi Info Semasa Kubang Kerian (ISKK), Mohamad Afandi Mohamad berkata, program amal itu dilaksanakan bagi mengembalikan semula ingatan masyarakat terhadap Allahyarham yang merupakan ulama terkenal di Kelantan.

“Kami berhasrat kembalikan semula ingatan masyarakat terhadap Allahyarham dengan menunjukkan wujudnya kubur ulama tersebut di sini.

“Secara tidak langsung juga mampu menaikkan semula sejarah tokoh ulama di negeri ini,” katanya.

Peserta yang menyertai program mengembalikan sejarah Tok Kenali.
Peserta yang menyertai program mengembalikan sejarah Tok Kenali.

Program yang disertai lebih 120 ahli daripada ISKK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Gabungan Kelab Kereta Negeri Kelantan (GKNK) dan ahli dari tiga masjid iaitu Masjid Sultan Ismail Petra, Masjid As-Solihin dan Masjid Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

Katanya, gotong-royong yang berlangsung lebih empat jam itu juga bagi memastikan keadaan kubur ulama itu terus terpelihara terutama mengelakkan daripada menjadi tempat berlakunya perbuatan syirik.

Artikel Berkaitan:

“Lokasinya juga berpotensi untuk jadi tarikan lokasi pelancongan selain dapat memupuk semangat perpaduan di antara semua pihak yang terbabit dalam program ini secara langsung mahupun tidak langsung.

“Peserta terutama golongan muda turut memperoleh pengetahuan melalui penerangan berkenaan sejarah Tok Kenali oleh masyarakat setempat yang mengenali Allahyarham,” katanya.