X

Kindly register in order to view this article
!

True Bangkok buka langkah kanan Piala SAC 2020

595645
A
A

TRUE Bangkok United FC melaungkan amaran awal pada kejohanan bola sepak jemputan Cabaran Asia Selangor (SAC) 2020 apabila menewaskan wakil Vietnam, Hanoi FC, 3-0, pada aksi pembukaan di Stadium Shah Alam, di sini hari ini.

Gol pertama kelab Thailand itu hadir menerusi sepakan leret penyerang berbisanya, Nattawut Suksum yang menewaskan penjaga gawang Hanoi FC, Warut Makemusik, pada minit ke-39.

True Bangkok United berjaya menggandakan kedua pada minit ke-63 menerusi percubaan pemain import dari Brazil, Vander Luis Silva Souza, sebelum Guntapon Keereelang mengesahkan kemenangan menerusi gol ketiga pada minit ke-81.

Ketua jurulatihnya, Alexandre Polking berkata, anak buahnya berjaya menyempurnakan peluang jaringan berbanding lawannya yang mempunyai banyak peluang untuk melakukan penyudahan.

“Penjaga gol kami juga memainkan peranan penting dengan berjaya menyelamatkan beberapa percubaan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tersebut.

Sementara itu, ketua jurulatih Hanoi FC, Chu Dinh Nghiem berkata, beliau tidak dapat membawa pasukan yang terbaik selepas lima pemain utama pasukan itu baru sahaja selesai menyertai kempen pasukan kebangsaan pada Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun di Buriram, Thailand Khamis lalu.

“Kami juga menghadapi masalah kecederaan beberapa pemain,” katanya.

Dalam satu lagi perlawanan, tuan rumah Selangor menghasilkan kesemua jaringan pada separuh masa pertama untuk menewaskan Persib Bandung dari Indonesia, 3-0.

Selangor membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi ketua pasukan Taylor Francis George Regan, dikikuti Sandro Da Silva (41) dan empat minit kemudian oleh Syahmi Safari. - Bernama