Jangan bimbang, PH tak makan orang...

Osman (tiga, kiri) ketika menerima Borang Jadual 1 Generasi Harapan Felda Dun Sedili sempena majlis penyerahan diadakan di Dewan Serbaguna Felda Bukit Waha, hari ini.
Osman (tiga, kiri) ketika menerima Borang Jadual 1 Generasi Harapan Felda Dun Sedili sempena majlis penyerahan diadakan di Dewan Serbaguna Felda Bukit Waha, hari ini.
A
A
A

KOTA TINGGI - Kerajaan negeri akan meneruskan mana-mana program yang dilihat memberi manfaat kepada rakyat meskipun terdapat kata-kata yang tidak sedap didengar.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, walaupun kerajaan lama sudah melaksanakan program berkenaan, namun apa dilakukan pada masa kini bukanlah sebagai kesinambungan sebaliknya usaha kerajaan baharu, PH.

Menurutnya, sekiranya kerajaan negeri tidak mahu 'tukar kulit' seperti mana kata pembangkang, maka beliau tidak akan hadir ke majlis tersebut.

"Walaupun diperintah kerajaan baharu tetapi tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan diberikan mandat oleh rakyat, saya diberikan amanah untuk dipertanggungjawabkan mengepalai kerajaan Johor.

"Jadi yang baik, memberi manafaat kebahagiaan, keselesaan keuntungan kepada rakyat saya akan teruskan. Saya akan lakukan penambahbaikan dan beberapa perubahan untuk saya laksanakan secara adil.

"Tetapi kalau perkara ini tidak dapat kerjasama dan sokongan serta dorongan rakyat maka sudah tentu untuk saya dan kerajaan melaksanakan agak sukar,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Borang Jadual 1 Generasi Harapan Felda Dun Sedili, di Dewan Serbaguna Felda Bukit Waha, hari ini.

Penyerahan borang berkenaan melibatkan seramai 2,360 orang yang terdiri daripada Felda Bukit Aping Timur, Felda Bukit Aping Barat, Felda Bukit Waha, Felda Simpang Waha, Felda Bukit Easter dan Tenggaroh Selatan itu bertujuan menyelesaikan isu pemilikan tanah untuk generasi kedua Felda.

Artikel Berkaitan:

Osman berkata, beliau dapati, penghijrahan tiga pemimpin dari BN ke PH termasuklah dari Adun Sedili dan Adun Johor Lama jelas dapat dilihat kerjasama yang baik dari mereka selain kerjasama penduduk itu sendiri.

Tambahnya, sebagai warganegara Malaysia dan menyayangi negeri Johor apa dimahukan adalah pembangunan dalam negeri ini secara berterusan melalui rapatkan saf dan jalinan perpaduan yang jitu.

"Kita nak infrastruktur bukan kita rasai tetapi kita perlu bangunkan lebih baik dan teratur dengan memberikan manfaatkan kepada semua rakyat tidak kira apa anutan agama, budaya dan amalan politik mereka.

"Selaku kerajaan dipertanggungjawabkan oleh majoriti rakyat, saya dan barisan kepimpinan peringkat negeri akan laksanakan. Janganlah curiga terhadap kerajaan baharu ini. Kita tak makan orang...," katanya lagi.

Dalam pada itu, Osman turut menyeru kepada semua pihak pengurusan Felda terutamanya di Johor supaya menjadikan taskforce khas seperti mana diwujudkan Adun dengan kerjasama Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi, Pejabat Felda Wilayah Johor Bahru dan Majlis Belia Felda Wilayah Johor Bahru itu sebagai contoh.

Seramai 201 penerima sijil tamat latihan bagi program kemahiran belia Felda Johor 2018 yang dikendalikan Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) turut diraikan pada program itu.