X

Kindly register in order to view this article
!

Pengekalan PLUS baik untuk semua

A
A

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) memenuhi satu lagi janji Buku Harapan dengan mengurangkan kadar tol semua lebuh raya di bawah Plus Malaysia Berhad (PLUS) sebanyak 18 peratus mulai bulan depan.

Walaupun ia tidak mematuhi sepenuhnya janji menghapuskan tol, namun itulah yang termampu oleh kerajaan dari segi kewangan dan terbaik bagi pengguna untuk jangka panjang.

Dengan keputusan Kabinet pada Rabu lalu untuk mengekalkan PLUS sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, maka dapatlah kerajaan meringankan beban pengguna.

Dari awal lagi, saya ingin menyebut dan menekankan dengan keputusan itu, diharapkan tidak ada lagi cubaan luar atau dalam untuk menjual PLUS.

Kalau berpatutan dan praktikal, saya ingin mencadangkan agar satu kaedah perkongsian penjimatan dilaksanakan di mana operator pengangkutan awam sama ada bas, teksi atau lori mengurangkan tambang dan bayaran angkut.

Pengurangan 18 peratus itu sebenarnya cukup besar dan amat menjimatkan kerana mulai sekarang kadar tol tidak akan dinaikkan.

Seawal 1 Februari ini, kadar tol di lebuh raya yang terlibat iaitu Lebuhraya Utara-Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP) akan turun 18 peratus atau dalam bahasa yang mudah, 18 sen bagi setiap RM1.

Kadar tol di Lebuhraya Utara-Selatan akan dikurangkan daripada 13.6 sen bagi setiap satu kilometer sekarang kepada 11.15 sen atau lebih rendah daripada kadar tahun 1999 sebanyak 11.24 sekilometer.

Bagi pengguna yang membuat perjalanan dari plaza tol Jalan Duta ke Alor Setar, bayarannya turun daripada RM55.50 kepada RM45.50 atau penjimatan sebanyak RM10.

Dari Jalan Duta ke Skudai pula, bayarannya turun daripada RM47 kepada RM38.50 bagi memberikan penjimatan sebanyak RM8.50.

Bagi membolehkan PLUS melaksanakan potongan kadar tol itu secara lestari, beberapa pindaan akan dibuat kepada perjanjian konsesi.

Antaranya, tempoh konsesi dilanjutkan selama 20 tahun. Jadi konsesi yang sepatutnya berakhir pada tahun 2038 dilanjutkan kepada tahun 2058.

Bolehlah PLUS menjana pendapatan bagi menjalankan operasi dan melakukan penyelenggaraan serta membuat keuntungan tanpa bergantung kepada suntikan kewangan kerajaan.

Keputusan terbaru itu memastikan tiada lagi kenaikan kadar tol selama 38 tahun hingga tahun 2058.Kerajaan juga menjimatkan wang kerana tidak perlu membuat sebarang bayaran timbal balas atau ganti rugi kepada PLUS.

Kerajaan tidak akan menanggung beban pembayaran pampasan kepada PLUS.

Ia dianggar menjimatkan sebanyak RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi. Penjimatan yang besar itu boleh digunakan untuk biaya inisiatif lain yang menguntungkan rakyat jelata.

PLUS pula kekal sebagai pemilik dan pengendali dengan memegang aset dan menanggung liabiliti lebuh raya.

Hal itu perlu ditekankan kerana difahamkan ada cadangan atau percubaan oleh pihak tertentu untuk memindahkan aset dan tanggungan PLUS.

Dengan itu, Khazanah dan KWSP kekal sebagai pemegang saham PLUS. Ia akan menguntungkan kerajaan sebagai pemilik Khazanah dan lebih 14 juta pemegang akaun KWSP.

Kerajaan yakin keputusan itu memberi banyak manfaat kepada rakyat melalui pengurangan kadar tol serta jaminan perjalanan yang selamat.

Kesimpulannya, walaupun kerajaan tidak berjaya menghapuskan sepenuhnya tol lebuh raya, namun ia melakukan yang terbaik demi kebajikan rakyat. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!