Perlu tingkat kuantiti, standard rumah perlindungan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor menyarankan keperluan untuk meningkatkan kuantiti dan standard rumah perlindungan keganasan rumah tangga di negeri ini.

Pengarah Eksekutif WAO, Sumitra Visvanathan berkata, terdapat keperluan mendesak untuk tujuan itu dan amalan terbaik antarabangsa menyarankan minimum satu tempat keluarga di pusat perlindungan wanita untuk setiap 10,000 penduduk.

Menurutnya, sehingga kini Malaysia hanya mempunyai kira-kira satu tempat keluarga untuk setiap 72,538 penduduk dan jumlah berkenaan belum mencukupi.

"Terdapat hanya 10 pusat perlindungan keganasan rumah tangga di Selangor yang mempunyai populasi kira-kira 6.5 juta.

"Walaupun begitu, rumah perlindungan milik kerajaan tidak digunakan sepenuhnya oleh mangsa keganasan rumah tangga yang memerlukan dan menunjukkan wujud jurang dalam mekanisme respon dan rujukan serta perkhidmatan yang disediakan," katanya.

Menurutnya, purata tahunan kes keganasan rumah tangga yang telah dilaporkan kepada PDRM bagi tahun 2013 hingga 2016 ialah 4,935 kes.

"Bagaimanapun hanya 38 mangsa wanita menggunakan kemudahan rumah perlindungan milik kerajaan yang diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap tahun.

“Keadaan ini amat membimbangkan kerana membuktikan ramai mangsa tidak mendapat akses kepada tempat selamat.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan juga diminta menyediakan peruntukan yang berterusan kepada rumah perlindungan bagi meningkatkan kuantiti dan kualiti tempat perlindungan itu," katanya.