Lelaki terpendek di dunia meninggal

Khagendra Thapa Magar (dua dari kiri) meninggal dunia akibat pneumonia di sebuah hospital di Pokhara kira-kira 200 kilometer dari Kathmandu.
Khagendra Thapa Magar (dua dari kiri) meninggal dunia akibat pneumonia di sebuah hospital di Pokhara kira-kira 200 kilometer dari Kathmandu.
A
A
A

KATHMANDU - Seorang warga Nepal, Khagendra Thapa Magar yang telah disahkan oleh Buku Rekod Guiness sebagai lelaki paling pendek di dunia menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Kathmandu semalam, kata keluarganya.

Magar yang berketinggian 67.08 sentimeter (sm) meninggal dunia pada usia 27 tahun selepas menghidap pneumonia di sebuah hospital di Pokhara kira-kira 200 kilometer dari Kathmandu.

“Dia keluar masuk hospital kerana pneumonia. Tetapi kali ini jantungnya juga terkesan. Dia meninggal dunia hari ini,” kata abangnya, Mahesh Thapa Magar.

Magar diisytiharkan lelaki terpendek dunia pada 2010 selepas ulang tahunnya ke-18, dengan gambarnya dirakamkan memegang sijil yang hampir sama saiz dengannya.

Sebagai lelaki terpendek dunia, Magar pernah dibawa ke berpuluh-puluh negara dan tampil di televisyen di Eropah dan Amerika Syarikat.

Namun Magar kehilangan gelaran itu pada tahun 2012 selepas Buku Rekod Guiness mengesahkan seorang lagi warga Nepal, Chandra Bahadur Dangi sebagai lelaki terpendek di dunia dengan ketinggian 54.6sm.

Magar bagaimanapun merampas kembali gelaran tersebut selepas Dangi meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Kepulauan Samoa pada 2015. - AFP

Artikel Berkaitan: