Maqis Johor rampas ikan kerapu bara

Anggota Maqis menunjukkan ikan kerapu bara yang dirampas di Kompleks Sultan Abu Bakar semalam.
Anggota Maqis menunjukkan ikan kerapu bara yang dirampas di Kompleks Sultan Abu Bakar semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas ikan kerapu bara seberat 243.5 kilogram (kg) selepas memeriksa sebuah lori di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini semalam.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, pemeriksaan dilakukan pada jam 4.30 petang itu mendapati kesemua bekalan ikan yang cuba dibawa masuk dari Singapura disorokkan dalam beberapa bekas polisterin.

Menurutnya, pihaknya juga tidak menemui sebarang dokumen sah serta permit import untuk membawa bekalan makanan terbabit ke negara ini.

"Kerapu bara berkenaan dipercayai dibawa masuk untuk pasaran sekitar Johor Bahru memandangkan ia mendapat permintaan sangat tinggi pada masa ini.

"Kesemua ikan yang dianggarkan bernilai RM30,437 itu dirampas untuk siasatan lanjut kerana tiada sebarang dokumen yang sah seperti permit import dan sijil kesihatan dari negara asal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nur Afifah berkata, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan: