Trio pelampau kulit putih ditahan di AS

(Dari kiri) Lane, Kaderli dan Helterbrand didakwa merancang untuk menggulingkan kerajaan AS. - Foto: Agensi
(Dari kiri) Lane, Kaderli dan Helterbrand didakwa merancang untuk menggulingkan kerajaan AS. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Tiga individu dipercayai anggota kumpulan pelampau kulit putih di Amerika Syarikat (AS) telah ditahan atas tuduhan merancang menggulingkan kerajaan dan terlibat konspirasi mahu membunuh aktivis antifasis.

Luke Austin Lane, 21, Michael John Helterbrand, 25, dan Jacob Kaderli,19, adalah anggota The Base yang digambarkan sebagai sebuah rangkaian nasionalis kulit putih antarabangsa yang membuat plot serangan ganas terhadap komuniti minoriti.

"Kumpulan itu terlibat merekrut anggota baharu secara atas talian, berbincang strategi dan latihan separa tentera di kem latihan di kawasan seluas 40 hektar di Silver Creek, barat laut Atlanta," kata jurucakap polis di Floyd semalam.

Menurut afidavit polis, trio yang berpusat di negeri Georgia itu cuba mempercepatkan rancangan untuk menggulingkan kerajaan AS, menghasut peperangan kaum dan menubuhkan negara etnik kulit putih.

Mereka juga sudah lama mengawasi sebuah rumah di daerah Bartow dengan niat untuk menembak mati pasangan aktivis yang tinggal di situ.

Kelmarin, Biro Penyiasatan Pusat (FBI) menahan tiga anggota The Base di Maryland kerana memiliki senjata automatik yang dilarang.

Ia bagaimanapun tidak menyatakan butiran komplot mereka, namun media AS melaporkan trio terbabit merancang untuk menghadiri perhimpunan hak senjata api di Virginia.

Sehari sebelum itu, gabenor di negeri tersebut mengisytiharkan darurat menjelang acara tersebut selepas menerima ancaman daripada kumpulan militia dan nasionalis kulit putih. - AFP

Artikel Berkaitan: