Rakaman audio kritik Presiden: PM Ukraine diberi peluang kedua

Honcharuk (kanan) ketika bertemu dengan Zelensky di pejabat presiden di Kiev semalam. - Foto Agensi
Honcharuk (kanan) ketika bertemu dengan Zelensky di pejabat presiden di Kiev semalam. - Foto Agensi
A
A
A

KIEV - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky semalam menolak surat peletakan jawatan dikemukakan Perdana Menteri, Oleksiy Honcharuk.

"Saya mahu memberi peluang kedua kepada anda dan kerajaan pimpinan anda," katanya ketika mesyuarat bersama Honcharuk, 35, yang membuat keputusan mengejutkan itu selepas rakaman audio beliau mengkritik Presiden didedahkan di media sosial pada Rabu lalu.

Menurutnya, beliau membuat keputusan untuk mengekalkan Perdana Menteri dan Kabinet kerana mengambil kira kepercayaan besar diberikan orang ramai terhadap mereka susulan pembentukan kerajaan pada Ogos 2019.

"Anda belum melunaskan janji kepada masyarakat," kata bekas pelawak TV berusia 41 tahun terbabit yang dilantik menggantikan bekas Presiden Petro Poroshenko pada April lalu.

Zelensky turut memberi amaran kepada Honcharuk supaya menangani isu gaji tinggi dalam kalangan menteri kerajaan dan masalah lain untuk mengekalkan jawatannya.

Difahamkan, Presiden terbabit juga memberi tempoh selama dua minggu kepada pihak berkuasa untuk menjejaki sumber yang membocorkan rakaman audio tersebut. - Agensi

Artikel Berkaitan: