Proses pengundian PRK Kimanis berjalan lancar: SPR

Lucine Matajil, 69, dibantu oleh Petugas SPR mencelup jari ke dalam botol dakwat ketika mengundi pada PKR Parlimen Kimanis di Sekolah Kebangsaan Our Lady of Fatima (M) Kelatuan hari ini. - Foto: Bernama
Lucine Matajil, 69, dibantu oleh Petugas SPR mencelup jari ke dalam botol dakwat ketika mengundi pada PKR Parlimen Kimanis di Sekolah Kebangsaan Our Lady of Fatima (M) Kelatuan hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KIMANIS - Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang bermula jam 7.30 pagi ini berjalan lancar tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini setakat ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, beliau tidak menerima sebarang aduan berhubung insiden atau laporan mengenai pelanggaran peraturan dan undang-undang pilihan raya oleh parti atau penyokong terlibat.

Beliau berkata, suasana pengundian juga berlangsung dengan aman.

“Saya telah melawat tiga pusat mengundi sehingga jam 11.00 pagi ini, yang setakat ini PRK Kimanis berjalan dengan amat lancar tanpa berlaku sebarang insiden serius.

“Kita juga dapati pengundi ramai pergi mengundi dan setakat pukul 10.00 pagi, peratusan keluar mengundi ialah 31.22 peratus.

"Saya harap pengundi yang belum pergi mengundi supaya ramai-ramai pergi ketika cuaca masih baik sekarang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Viging Ulu di Bongawan di sini hari ini.

Azhar berkata, SPR juga optimis dapat mencapai sasaran 70 peratus pengundi pergi mengundi hari ini.

Seramai 29,619 orang daripada 29,664 pengundi biasa layak mengundi pada PRK Kimanis.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 19 pusat mengundi melibatkan 68 saluran dibuka dari jam 7.30 ‪pagi hingga 5.00‬ petang bagi membolehkan pengundi menunaikan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pemilih berdaftar.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin. - Bernama