'Dialah ayoh dan mok'

Abdul Rahman menemani Muhammad Irfan membuat ulang kaji pelajaran.
Abdul Rahman menemani Muhammad Irfan membuat ulang kaji pelajaran.
A
A
A

PASIR MAS - "Dialah ayoh dan mok kepada saya," demikian luahan seorang anak yatim piatu, Muhammad Irfan Shaiful Amran, 12, dari Kampung Kaloi di sini yang dibesarkan oleh datuknya, Abdul Rahman Sulong, 83.

Mana tidaknya, murid Tahun Enam itu berada di bawah jagaan datuknya sejak lahir lagi selepas bapa dan ibunya meninggal dunia.

Muhammad Irfan berkata, sungguhpun hilang kasih sayang daripada kedua orang tuanya, namun dia beruntung kerana masih mempunyai seorang datuk yang penyayang.

"Datuk adalah segala-galanya bagi saya. Dialah tempat saya bermanja, menumpang kasih dan kongsi kisah sedih serta duka.

"Sebab itulah saya memanggil datuk dengan gelaran ayoh," katanya.

Terdahulu, Muhammad Irfan dan datuknya menerima kunjungan daripada Presiden Pertubuhan Kebajikan Sosial Anak Meranti (Perkam), Mohd Romizu Mohd Ali yang turut menyampaikan sedikit sumbangan.

Muhammad Irfan berkata, walaupun membesar bersama datuk, dia tetap menziarahi pusara ibu dan ayahnya bagi mengubat kerinduan.

Menurutnya, setiap kali melangkah masuk ke penggal baharu persekolahan, dia akan menangis apabila teringatkan arwah ibu dan bapanya.

Artikel Berkaitan:

"Tipulah saya tidak terkesan melihat rakan-rakan lain datang ke sekolah dengan ibu dan ayah.

"Namun saya tetap gembira kerana datuk masih ada di sisi setiap kali sesi persekolahan bermula. Sekurang-kurangnya dia boleh temankan saya," katanya.

Muhammad Irfan (tengah) bersama datuknya yang dipanggil ayoh menerima kunjungan daripada Presiden Perkam, Mohd Romizu (kanan).
Muhammad Irfan (tengah) bersama datuknya yang dipanggil ayoh menerima kunjungan daripada Presiden Perkam, Mohd Romizu (kanan).

Katanya, dia kembali kuat setiap kali memikirkan pengorbanan datuk yang sentiasa bertungkus-lumus mencari rezeki bagi menanggung persekolahannya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, walaupun dia perlu membesarkan cucunya itu seorang diri, namun mereka berdua saling melengkapi antara satu sama lain.

"Bagaimanapun, kudrat saya sekarang tidak segagah ketika usia muda apabila mempunyai penyakit jantung dan beberapa penyakit lain lagi.

"Doktor menasihatkan saya supaya tidak melakukan kerja-kerja berat," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam milik Abdul Rahman Sulong bernombor 03 027-02-0306940.