Data peribadi disimpan Khazanah Nasional: Guan Eng

Lim Guan Eng (dua, kiri) melihat bebarapa pengunjung menggunakan aplikasi E-Tunai Rakyat pada promosi sempena pelancaran Inisiatif E-Tunai di pusat membeli belah The Spring hari ini. -Foto Bernama
Lim Guan Eng (dua, kiri) melihat bebarapa pengunjung menggunakan aplikasi E-Tunai Rakyat pada promosi sempena pelancaran Inisiatif E-Tunai di pusat membeli belah The Spring hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Semua data peribadi yang diterima menerusi program e-Tunai Rakyat akan disimpan secara sulit oleh agensi pelaksana, Khazanah Nasional Berhad.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Khazanah Nasional Berhad adalah sebuah syarikat pelaburan dana kekayaan yang dimiliki oleh kerajaan dan semua data diperolehnya adalah sama seperti yang dimiliki oleh kerajaan.

“Kalau kerajaan mahukan data peribadi rakyat Malaysia, ia sudah ada di dalam kad pengenalan. Ia lebih terperinci dan lebih menyeluruh.

“Ia bernilai kepada syarikat swasta yang terlibat dalam perniagaan dan perdagangan tapi sekiranya ia dimiliki oleh kerajaan, kita bukan dalam perniagaan, tentu kita tidak akan gunakannya untuk manfaat sedemikian,” katanya pada sidang media selepas mempromosi Pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat kepada warga Kuching di pusat membeli-belah The Spring, di sini malam ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen.

ARTIKEL BERKAITAN: Data e-Tunai Rakyat berisiko disalah guna

Guan Eng meminta orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tohmahan yang tidak berasas pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab kononnya program itu adalah strategi kerajaan untuk mendapatkan maklumat peribadi rakyat.

“Semua individu yang telah mendaftar itu, mereka tahu ia dikendalikan oleh kerajaan dan kerana itu, mereka yakin untuk mendaftar dan menikmati insentif berkenaan,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Program e-Tunai Rakyat dilancarkan pada Selasa bagi membolehkan rakyat Malaysia berkelayakan menuntut RM30 melalui tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Guan Eng berkata, setakat ini, lebih 800,000 permohonan telah diluluskan dan RM24 juta dibelanjakan.

Inisiatif berkenaan diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2020, Oktober tahun lepas yang menyediakan peruntukan RM450 juta bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan masyarakat tanpa tunai. - Bernama