Terima kasih Dr Maszlee Malik

A
A
A

PADA tahun 2019 pelbagai aktiviti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), perancangan serta pencapaian yang dapat dilaksanakan dengan baik adalah hasil kerjasama serta nasihat yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pimpinan mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Lima fokus utama KPM menjadi perangsang pencapaian sepanjang tahun dalam usaha menyiapkan diri untuk melangkah masuk ke tahun 2020.

Fokus pertama bertujuan untuk mengembalikan cinta ke dalam pendidikan. Ini juga bermakna nilai-nilai manusiawi yang mesti terus disuburkan dalam alam pendidikan negara kita; dan diharapkan akan dihargai oleh dunia.

Fokus kedua untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Usaha-usaha awal telah dilakukan dan ia sedang dipertingkatkan.

Fokus ketiga memberi perhatian kepada autonomi dan akauntabiliti dalam agensi pendidikan khususnya institusi pengajian tinggi. Perubahan ke arah ini sudah mula dirasai.

Fokus keempat menekankan tentang kempen Malaysia Membaca. Sehubungan itu, satu perkara yang mesti disyukuri oleh rakyat Malaysia ialah Kuala Lumpur diiktiraf sebagai Kota Buku Dunia tahun 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Fokus kelima berkenaan manifesto yang dimanifestasikan dalam bentuk kad laporan KPM untuk tahun 2019 yang telah diserahkan pada bulan Disember 2019 oleh Maszlee kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika merasmikan Majlis Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 24 November 2019, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berharap kempen Dekad Membaca Kebangsaan yang dilancarkan mampu menyumbang kepada pencapaian 31 buah buku setahun purata bagi tahap membaca rakyat Malaysia bagi tahun 2030.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, kajian interim tabiat membaca rakyat Malaysia bagi tahun 2014 mendedahkan purata bacaan rakyat adalah 15 buah buku setahun berbanding pada tahun 2010 iaitu lapan hingga 10 buku setahun. Kajian pada tahun 2014 juga menunjukkan 95 peratus rakyat Malaysia membaca.

Usaha menempatkan Sasterawan Negara (SN) di universiti awam di Malaysia telah berjaya dilaksanakan seperti yang telah arahkan Maszlee. Kesemua SN termasuk Dr Siti Zainon Ismail yang baru saja dinobatkan pada 21 September 2019 sebagai SN ke-14 telah terlibat secara aktif di pelbagai wacana di institusi pengajian tinggi serta tempat awam di seluruh negara.

Kempen Dekad Membaca Kebangsaan (2021-2030) telah bermula secara aktif pada tahun 2019.

Antara program dan aktiviti yang dijalankan adalah siri Bicara Karya (BK) yang telah sempat saya rancangkan dengan pihak pengurusan DBP. Ia merupakan program ulung yang bersejarah bagi seluruh staf DBP dan orang awam menerusi penyiaran langsung dalam Facebook. Idea itu tercetus apabila saya melihat betapa kayanya khazanah penerbitan setiap bahagian dalam DBP.

Namun karya-karya itu tidak didedahkan kepada umum menerusi media sosial. Maka setiap bahagian pun membedah buku penerbitannya menerusi wakilnya selama 20 minit diikuti dengan perbincangan selama 10-15 minit. Saya menghadiri majoriti daripada sesi ini dan saya lihat julat kehadiran adalah antara 15 orang dan 60 orang. Sudah tentu ramai lagi yang mengikutinya menerusi Facebook.

Aktiviti DBP melibatkan berbagai-bagai kumpulan masyarakat, daripada golongan anak jalanan Chow Kit dan komuniti mesra autisme hinggalah masyarakat orang asli, kanak-kanak, remaja dan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Kerjasama DBP dengan Universiti Fatoni di selatan Thailand melibatkan pelbagai aktiviti kursus serta latihan bahasa Melayu di pelbagai peringkat masyarakat.

Kepada Dr Maszlee Malik yang telah memberi perhatian serta galakan yang luar biasa kepada DBP serta pembangunan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia, kami daripada DBP mengucapkan terima kasih.

Kajian pada tahun 2014 juga menunjukkan 95 peratus rakyat Malaysia membaca.”

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP