Apabila jurutera bercakap isu agama

A
A
A

SALAH satu perkara yang saya belajar sejak menulis di ruangan kolum ini ialah apa-apa sahaja yang saya tulis mesti ada seseorang akan marah.

Yang terbaru minggu lepas, saya telah menulis artikel yang secara kesimpulannya memberitahu: “Janganlah kita mengambil kerja Tuhan dengan mengkafirkan orang.” Ada yang menjawabnya: “Inilah jadinya bila jurutera bercakap pasal agama.”

Begitulah selalunya. Mesti ada sahaja jawapan yang menyebabkan orang tidak puas hati apa sahaja yang saya tulis.

Jadi untuk komen yang mengatakan jurutera tidak boleh bercakap tentang agama, eloklah saya memberi sedikit maklum balas juga. Untuk pencerahan, seperti kata peribahasa Melayu lama kita ‘bukan air muara yang ditimba, tetapi sudah disauk dari hulunya’.

Sebagai jurutera, tidak semestinya saya tidak boleh bercakap tentang agama, walaupun artikel saya sebelum ini pun bukan tentang agama. Tetapi sebagai orang yang tidak mahu hanya bertaklid buta sahaja maka hendaklah kita mencari kebenaran tanpa berhenti.

Tidak boleh kita berhenti setakat tahu sahaja. Kalau ada upaya untuk mendalaminya, maka teruskanlah usahanya. Maka untuk mencari kebenaran itu, banyaklah juga buku-buku yang saya baca. Bermacam-macam tajuk pun ada. Ada buku Mazhab Lima, Ibnu Arabi, Imam Jaafar, Murtada Muttahari, Maududi, Kassim Ahmad, Boboiboy, A Samad Ismail, Pak Sako, Ejen Ali, Tan Malaka, Trotsky, Dr Nasir Hasim, majalah Gila-Gila dan bermacam-macam lagilah yang kalau disebut akan memenuhi ruangan ini pula.

Jadi tidak semestinya jika kita dalam satu bidang, maka kita tidak boleh mempelajari lagi bidang lain dan menjadi lebih tahu lagi dalam bidang yang lain.

Saya tidaklah kata saya pandai dan tahu semua. Tetapi sebagai manusia ciptaan ALLAH yang telah diberi DNA Nabi Adam yang telah diajar oleh ALLAH untuk tahu serba-serbi, maka kita sebenarnya berpotensi untuk tahu dan belajar semua ilmu.

Artikel Berkaitan:

Lebih-lebih lagi tentang Islam itu sendiri yang merupakan pegangan dan amalan cara hidup kita. Jadi sepatutnya kita lebih tahu, kena tahu dan patut tahu apa yang kita amalkan. Bukan sekadar dengar secara ikut belakang.Kemahiran

Bila kita tahu sebab musabab pegangan kita maka kita akan jadi orang yang lebih baik dari segi amalan. Ilmu dan amal itu seiring. Bila seiring dan diamalkan maka jadilah kita orang yang lebih baik daripada kelakuan.

Banyak contoh di mana orang tahu tentang agama tak semestinya menjadi ustaz-ustaz sahaja. Juara musabaqah al-Quran yang dianjurkan oleh Malaysia dimonopoli warga Iran sebanyak 19 kali. Dan rata-rata mereka ini mempunyai latar belakang peguam, doktor dan juga jurutera.

Ahli-ahli filsafat dan bijak pandai dahulu kala mempunyai kemahiran daripada pelbagai bidang ilmu juga. Semalam saya ada membaca surat khabar Sinar Harian tentang Ibnu Bajjah. Siapa Ibnu Bajjah itu?

Tengok latar belakangnya sahaja juga telah menggerunkan hati saya. Macam mana agaknya beliau ini mendalami ilmu sehingga boleh dikatakan pakar banyak bidang.

Ibnu Bajjah sahaja kepakarannya merangkumi politik, ahli astronomi, pemuzik, doktor, ahli fizik, ahli psikologi, penyair, ahli falsafah, logik dan matematik. Belum dikira orang bijak pandai yang lain lagi seperti Ibnu Arabi, Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Ibnu Farabi dan lain-lain lagi.

Bukan saya bermaksud kita hendak menjadi seperti mereka. Tetapi kita sebenarnya adalah makhluk yang sangat berpotensi untuk menambah ilmu. Lebih-lebih lagi ilmu yang wajib kita pelajari ini. Dengan ilmu, maka kita akan dapat memperbaiki rohani dan jasmani kita nanti.

Selalu sangat ada orang kata: “Kamu bukan ahli dalam bidang ini. Nak tanya pasal agama tanyalah ustaz-ustaz.” Saya tidak setuju dengan pendapat begini. Sebab, ustaz-ustaz pun ramai sahaja yang mengelat.

* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bertanya khabar, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com