Lelaki maut ditimpa pokok kelapa ketika bercuti di Langkawi

Orang ramai memberi bantuan kecemasan kepada mangsa di Pantai Chenang.
Orang ramai memberi bantuan kecemasan kepada mangsa di Pantai Chenang.
A
A
A

LANGKAWI - Kegembiraan bercuti di Langkawi bertukar pilu apabila seorang lelaki maut, manakala dua lagi cedera ditimpa pokok kelapa yang tumbang akibat angin kencang di Pantai Chenang, Langkawi, malam semalam.

Mangsa, Muhammad Sukri Koto Alwi, 24, dari Selangor maut dalam kejadian sekitar 11 malam itu.

Dua lagi mangsa yang cedera, Chong Win Ken, 26, dan Yong Shui Tian, 24, kini menerima rawatan di Hospital Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ketika kejadian terdapat beberapa orang awam berada di kawasan berkenaan.

“Polis menerima panggilan daripada orang awam pada 11.15 malam mengatakan ada kejadian pokok kelapa tumbang di kawasan pantai berhadapan Mali-Mali Beach Resort, bersebelahan Kalut Cafe & Bar di Pantai Chenang,” katanya.

Menurutnya, sejurus tiba, anggota polis mendapati jumlah mangsa seramai tiga orang, seorang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

“Mangsa yang cedera merupakan kenalan dan ketika kejadian mereka duduk di pantai, bersama mangsa yang maut dan tidak sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, kedua-dua mangsa yang cedera masih menerima rawatan, di mana salah seorang patah tulang belakang, manakala seorang lagi patah di tulang pinggang.

Artikel Berkaitan:

“Kecederaan mereka agak serius dan akan menjalani pembedahan segera,” katanya.

Menurutnya, keluarga mangsa yang maut kini berada di Langkawi.