Kerajaan nilai semula elaun guru KAFA

Dr Mujahid Yusof
Dr Mujahid Yusof
A
A
A

NIBONG TEBAL- Kerajaan akan terus memfokuskan kebajikan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) termasuk menilai semula pemberian elaun kepada guru-guru berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata, pemberian elaun sentiasa menjadi fokus perbincangan di peringkat kementeriannya dalam usaha menghargai jasa guru KAFA sekali gus memartabatkan lagi profesion guru itu yang turut menjadi nadi penting dalam pendidikan.

"Dalam Belanjawan 2020 kita telah menaikkan elaun guru KAFA sebanyak RM100 lagi menjadikan elaun mereka kini RM1,000 daripada RM900 sebelum ini. Saya katakan ia (kenaikan elaun) tidak akan terhenti di sini. Untuk Belanjawan 2021, kita akan minta lebih lagi supaya guru KAFA tidak rasa terpinggir dari sudut elaun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program e-RPH (Rancangan Pengajaran Harian) dan KAFA Pendidikan Khas Zon Utara di Institut Latihan Perindustrian Nibong Tebal di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, penekanan yang akan diberikan kerajaan terhadap guru KAFA itu termasuk pemberian elaun kepada guru KAFA yang sedang cuti bersalin kerana buat masa ini mereka tidak menikmati sebarang elaun dalam tempoh itu.

"Ia termasuk dalam perbincangan kita, kita cuba buat setakat termampu," katanya.

Terdahulu, pada program itu Mujahid turut memuji program yang telah dicetuskan oleh KAFA Pulau Pinang dan berharap ia menjadi contoh serta modul kepada KAFA di negeri-negeri lain.

"Ia satu program yang cukup baik dan boleh dijadikan contoh kepada KAFA negeri lain yang kini mempunyai hampir 30,000 guru dan sejuta murid di seluruh negara," katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: