X

Kindly register in order to view this article
!

Ibu empat kanak-kanak, tiga remaja dicari

Gambar atas dari kiri: Muhammad Haziq Haiqal, Adam Danish, gambar bawah kiri: Mohamad Hadi, Kanita
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta ibu kandung atau waris kepada empat kanak-kanak dan tiga remaja tampil bagi urusan penempatan dan dokumen pengenalan diri.

JKM Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan memaklumkan kesemua mereka masing-masing Adam Danish Abdullah, 10; Kanita, 11; Mohamad Hadi, 15;Muhammad Haziq Haiqal, 13; Azrul Shah Abdullah, 16; Azura, 10, dan Zakuan, 6.

Menurut kenyataan itu, Adam Danish yang dilahirkan pada 11 Februari 2010 menjadi mangsa pengabaian ibu kandung dipercayai berasal dari Kedah.

Kenyataan itu memaklumkan Kanita pula dilahirkan pada 30 Disember 2009 dan kedua-duanya yang merupakan kanak-kanak kurang upaya dimasukkan ke Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu pada 6 November 2013.

“Mohamad Hadi yang juga kurang upaya dilahirkan pada 14 September 2005 dimasukkan ke Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu pada 5 Mei 2014 selama tiga tahun kerana diabaikan ibu kandung dipercayai berasal dari Perak.

“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan ibu kandung atau waris kepada tiga kanak-kanak tersebut boleh berhubung dengan pelindung kes, Mohd Sabry Ahmad, ditalian 032612 4000,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan kanak-kanak bernama Muhammad Haziq pula kini ditempatkan dalam jagaan pasangan warga tempatan di bawah Perintah Mahkamah Subseksyen 19 (2) (b) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan) 2016.

Menurut kenyataan itu, JKM Kuala Lumpur sedang mencari ibu kandung kanak-kanak yang dikenali sebagai Noor Azura Hasni.

“Ibu kandung kanak-kanak atau waris diperlukan untuk berbincang dengan pelindung kes bagi perancangan penempatan kanak-kanak selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan JKM turut mencari ibu kandung dan waris kepada tiga lagi kanak-kanak iaitu Azrul Shah, Azura, dan Zakuan.

Menurut kenyataan itu, ketiga-tiga kanak-kanak kini ditempatkan di institusi JKM di bawah Perintah Mahkamah Subseksyen 19 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan) 2016.

“Ibu kandung atau warisnya boleh hadir ke pejabat JKM Kuala Lumpur di Tingkat 9, Grand Seasons Avenue, Jalan Pahang, Kuala Lumpur atau berhubung dengan pegawai kes, Azizul Rahaman Zabidin ditalian 0326124196 atau 0326124000,” katanya menurut kenyataan itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus