Bayar cukai taksiran, boleh menang hadiah hampir RM60,000

Mohamad Zain A Hamid
Mohamad Zain A Hamid
A
A
A

KUALA LANGAT - Pemilik hartanah di kawasan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) yang menjelaskan cukai taksiran dan tidak mempunyai tunggakan sebelum atau pada 29 Februari ini berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berjumlah sehingga RM60,000.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, hadiah utama ditawarkan dalam cabutan bertuah tersebut termasuk sebuah motosikal keluaran terbaharu jenis Yamaha NVX.

Menurutnya, bayaran cukai juga boleh dijelaskan melalui kaedah dalam talian di semua kaunter pihak berkuasa tempatan dan pejabat tanah di Selangor, pejabat pos serta kaunter bank terpilih.

“Pelbagai saluran pembayaran disediakan antaranya kaunter di Ibu pejabat MDKL dan kaunter di pejabat cawangan MDKL di Bandar Saujana Putra yang dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 4 petang,” katanya menerusi satu kenyataan.

"Pembayaran cukai taksiran perlu dibuat pemegang hartanah bagi membantu MDKL menguruskan kutipan sampah domestik, pembersihan kawasan dan menyelenggara infrastruktur awam dalam kawasan MDKL.

Beliau dalam pada itu menegaskan, mereka yang gagal melunaskan pembayaran cukai taksiran mengikut tempoh masa ditetapkan bakal berdepan tindakan tegas hartanah disita dan dilelong.

“Kutipan cukai ini juga membantu MDKL untuk menguruskan pembangunan daerah Kuala Langat dengan lebih cekap dan efisien sekali gus memberi keselesaan, kesejahteraan dan keharmonian kepada masyarakat.

“Orang ramai yang ingin menyemak atau membuat pertanyaan berkenaan cukai taksiran boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Hasil MDKL melalui talian 03-31872825 atau 03316181 sambungan 146 dan 147,” katanya.

Artikel Berkaitan: