X

Kindly register in order to view this article
!

Penuntut PhD warga Bangladesh didenda RM26,000

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang warga Bangladesh yang sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) didenda RM26,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memiliki 1,300 helai baju dan seluar tiruan kesemuanya jenama Adidas untuk tujuan perdagangan Isnin lalu.

Hakim Manira Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu ke atas Tauhiduzzaman MD, 31, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris.

Penuntut bidang pengurusan di sebuah universiti swasta tempatan itu didakwa mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan 1,300 helai baju dan seluar jenama Adidas bernilai RM10,400 yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Best Blessing Sdn Bhd, 15A, Jalan Merbau di sini pada jam 4.30 petang, 13 Januari lalu mengikut Seksyen 102 (1) (c), Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1) (ii) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan cap dagangan berdaftar dengan salah atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, boleh didenda maksimum RM20,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan cap dagangan berdaftar dengan salah, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Terdahulu, Tauhiduzzaman yang diwakili peguam Zulkifli Awang merayu hukuman berbentuk denda paling minimum dengan alasan tertuduh menanggung isteri, anak berusia setahun dan ibu bapanya.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Tan Chiew King memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira kepentingan awam. - Bernama