Tragedi politik Hakan Sukur, legenda bola kini pemandu Uber

Hakan Sukur dalam satu video yang disiarkan di saluran YouTube beliau sendiri baru-baru ini.
Hakan Sukur dalam satu video yang disiarkan di saluran YouTube beliau sendiri baru-baru ini.
A
A
A

HAKAN Sukur, nama yang pernah menggegar dunia 18 tahun lalu. Namanya meniti di bibir pencinta bola sepak dalam Piala Dunia 2002 di Jepun dan Korea Selatan.

Jaringan pantasnya pada saat ke-11 perlawanan ketika menentang tuan rumah, Korea Selatan terus melonjakkan nama bekas pemain Inter Milan itu.

Sehingga sekarang, beliau masih seorang penjaring gol terpantas dalam sejarah kejohanan Piala Dunia.

Berlandaskan pencapaian itu, sudah pasti ramai merasakan Hakan Sukur kini terus diulit kehidupan serba mewah bersama keluarganya. Begitupun, langit tidak selalunya cerah.

Hidup sebagai pemain bola sepak, pasti ada pasang surutnya apatah lagi selepas mereka menggantung kasut. Zaman kegemilangan, kejatuhan pasti menghiasi warna-warni kehidupan mereka.

Bagaimanapun, kejatuhan legenda Turki ini luar biasa kisahnya. Digelar ‘Bull of the Bosphorus’ ketika zaman kegemilangannya, bekas bintang kelab Galatasaray itu bukan saja ‘dibuang negara’, malah kini terpaksa bekerja sebagai pemandu Uber di Amerika Syarikat.

“Tiada apa lagi yang tinggal pada saya, Erdogan (Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan) ambil semuanya. Hak saya untuk bebas, hak kebebasan bersuara dan hak untuk bekerja,” katanya kepada akhbar Jerman, Welt am Sonntag.

Kenapa beliau menyebut nama Erdogan? Apakah kaitannya dengan Sukur? Mengapa Erdogan mengambil semuanya daripada Sukur? Ini kisahnya.

Artikel Berkaitan:

Selepas bersara, penjaring terbanyak Galatasaray itu bergelumang dalam dunia politik. Permulaannya baik apabila beliau memenangi satu kerusi Parlimen ketika bersama Erdogan dalam parti ‘Justice and Development’ pada tahun 2011.

Begitupun, hubungan baiknya bersama ilmuan Islam yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Fethullah Gulen menyebabkan hubungannya dengan Erdogan semakin bermasalah.

Kemuncaknya, pada 15 Julai 2016 sekumpulan pecahan tentera cuba melakukan serangan ke atas Parlimen dan Istana Presiden Turki.

Sekurang-kurangnya 238 orang terbunuh dan hampir 2,200 cedera selepas orang ramai keluar ke jalanan untuk melumpuhkan kudeta tersebut. Tragedi itu membangkitkan amarah Erdogan.

Beliau menuduh Gulen dalangnya dan tanpa berselindung menggelar mereka yang bersekongkol sebagai ‘pengganas’, ‘pengkhianat’ dan Sukur ialah salah seorang daripadanya. Kesannya? Beliau dilarang kembali ke Turki.

Hakan Sukur merupakan legenda Turki yang kini tidak lagi dibenarkan pulang ke negaranya. - Foto Middle East Online
Hakan Sukur merupakan legenda Turki yang kini tidak lagi dibenarkan pulang ke negaranya. - Foto Middle East Online

“Tiada sesiapa dapat jelaskan peranan saya dalam insiden itu. Saya tidak pernah melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang. Saya bukan pengkhianat atau pengganas.

“Saya mungkin musuh kepada kerajaan ini tapi bukan musuh kepada Turki. Saya sayang negara saya. Selepas berpisah dengan Erdogan, saya mula menerima pelbagai ancaman.

“Kedai isteri saya diserang, anak saya juga diserang, ayah saya disumbat ke dalam penjara dan semua aset saya dibekukan,” katanya kepada akhbar Jerman itu.

Menurutnya, “Jadi saya pindah ke AS, mengusahakan sebuah kafe di California tapi individu mencurigakan selalu datang ke kafe. Sekarang, saya memandu untuk Uber dan menjual buku.”

Kesukaran hidup Sukur mungkin hanya bermula sejak kebelakangan ini kerana pada 2017, Anadolu Agency (agensi berita Turki) mendedahkan bekas bintang bola sepak itu hidup mewah, menginap di rumah berharga AS$3 juta (RM12.23 juta).

Bukan itu sahaja, beliau juga dilihat menaiki beberapa kereta mewah dan memiliki kafe di kawasan mewah di San Francisco seperti didedahkan wartawan agensi tersebut. Memasuki tahun 2020, kisahnya berbeza pula.

Berstatus pemain bintang suatu masa dahulu, tiada siapa menjangka hidup Sukur sesukar itu. Bersara, menjadi pengulas sukan dan kemudian terjun ke dunia politik, semuanya nampak indah dan berjalan lancar.

Sukur (dua dari kiri) selepas perlawanan Separuh Akhir Piala Dunia 2002 menentang Korea Selatan yang memperkenalkan namanya ke persada dunia. - Foto dari FIFA
Sukur (dua dari kiri) selepas perlawanan Separuh Akhir Piala Dunia 2002 menentang Korea Selatan yang memperkenalkan namanya ke persada dunia. - Foto dari FIFA

Namun usaha ‘menggulingkan’ Erdogan adalah permulaan kepada kejatuhan luar biasanya. Sekiranya usaha tersebut berjaya, mungkin lain kisahnya, namun setelah gagal ia memberi tamparan hebat kepada penyerang yang menjaringkan 51 gol untuk Turki itu.

Erdogan ternyata tidak main-main dalam isu tersebut. Ogos 2016, beliau mengeluarkan waran tangkap ke atas Fethullah Gulen berkaitan cubaan rampasan kuasa menggulingkan Presiden Turki itu pada 15 Julai 2016.

Gulen menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan malah menuduh Erdogan yang merancang insiden tersebut dan kemudian meletakkan kesalahan kepada dirinya.

Selepas insiden berdarah itu, berpuluh ribu orang ditahan kerana dipercayai ada kaitan dengan Gulen manakala lebih 140,000 kakitangan kerajaan sama ada dipecat atau digantung kerja.

Erdogan tidak pernah berhenti. Februari tahun lalu, polis Turki melancarkan operasi memburu lebih 110 lagi individu, kebanyakannya tentera dipercayai ada kaitan dengan kumpulan yang didakwa terbabit dengan cubaan rampasan kuasa yang gagal pada 2016.

Meskipun dikecam hebat sekutu Barat dan pejuang hak asasi manusia, Turki menegaskan bahawa serbuan itu perlu dilakukan untuk menamatkan pengaruh Gulen di semua institusi dalam negara tersebut.

Nasib menimpa Sukur membuktikan kejatuhan karier sebagai pemain bola sepak profesional tidaklah seteruk jatuhnya karier seorang ahli politik. Lebih-lebih lagi ahli politik yang menentang kerajaan secara ekstrem.

Wajah terkini Hakan Sukur. - Foto time24.news
Wajah terkini Hakan Sukur. - Foto time24.news

Status legenda seseorang itu juga tidak menjamin apa-apa. Anda mungkin dikenang kerana jasa anda namun seandainya melakukan kesalahan besar, jasa anda seolah-olah tiada nilainya lagi pada mata marhaen.

Mahu atau tidak, Sukur kini terpaksa melupakan kemewahan yang pernah dikecapinya. Dari kehidupan serba mewah, beliau kini perlu bertabah menempuhi hari-hari mendatang yang kian mencabar.

Pesanan akhir ini khas untuk penulis, anda dan semuanya terutamanya Hakan Sukur. Belajarlah bersyukur!

INFO:

Pemain bola sepak yang memasuki arena politik

1. George Weah, Liberia

Pernah bermain untuk pasukan AC Milan dan Paris St Germain, George Weah ialah pemain pertama dan satu-satunya dari benua Afrika yang memenangi Anugerah Pemain Terbaik FIFA dan Anugerah Ballon D’Or. Beliau memenangi pilihan raya Presiden Liberia pada 2017 selepas gagal pada 2005 dan 2011. Dengan kemenangan itu, beliau dilantik sebagai Presiden Liberia.

2. Romario, Brazil

Bekas Pemain Terbaik FIFA tahun 1994 ini ialah legenda pasukan Brazil yang membantu pasukan negaranya menjuarai Piala Dunia 1994. Menjaringkan 55 gol daripada 70 penampilan bersama skuad Selecao, Romario dikatakan menjaringkan lebih 1,000 gol sepanjang kariernya. Beliau kini menjadi senator bagi Rio de Janeiro sejak tahun 2014 selepas bersara pada 2009.

3. Kakha Kaladze

Salah seorang pemain terbaik yang pernah dimiliki Georgia. Bekas pertahanan AC Milan itu bersara pada Mei 2012 namun karier politiknya bermula beberapa bulan sebelum itu. Beliau menjadi Ahli Parlimen di negaranya pada Oktober 2012. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Tenaga, namun pelantikannya dikritik ramai pihak.

4. Viktor Orban

Orban bukanlah pemain yang popular kerana beliau hanya bermain untuk kelab amatur tempatan, Felcsut FC. Bagaimanapun, bagi rakyat Hungary, beliau sangat digemari kerana menjadi Perdana Menteri Hungary sebanyak dua kali. Pertama, dari tahun 1998 hingga 2002 dan seterusnya kembali menjawat jawatan itu pada 2010.

5. Datuk Soh Chin Aun

Mungkin ramai yang tidak tahu, legenda Malaysia dan Selangor ini pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-7 (PRU7) pada 1986. Beliau bertanding mewakili MCA di kawasan kubu kuat DAP, Parlimen Kota Melaka. Beliau tewas kepada anak muda berusia 26 tahun yang mewakili DAP, Lim Guan Eng yang kini merupakan Menteri Kewangan.

6. Radhi Mat Din

Tiada siapa dapat menafikan kehebatan pemain terbaik Malaysia pada tahun 1993 dari Kedah ini. Beliau mengecapi pelbagai kejayaan dalam dunia bola sepak tempatan, namun kejayaan itu nampaknya tidak mampu membantunya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018. Beliau yang bertanding di Parlimen Pokok Sena tewas kepada penyandang kerusi tersebut, Datuk Mahfuz Omar yang kini Timbalan Menteri Sumber Manusia.