Cubaan seludup 23kg syabu gagal

Mohd Zubil (tiga, kanan) menunjukkan sebahagian bungkusan dadah jenis syabu yang dirampas.
Mohd Zubil (tiga, kanan) menunjukkan sebahagian bungkusan dadah jenis syabu yang dirampas.
A
A
A

PELABUHAN KLANG – Hasrat dua lelaki cuba menyeludup keluar dadah jenis syabu seberat 23 kilogram bernilai RM3.45 juta menggunakan bot gentian kaca gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) Selangor, di Perairan Tanjung Rhu, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, cubaaan itu berjaya dipatahkan kira-kira jam 7.30 pagi dalam operasi khas yang dijalankan selepas menerima maklumat risikan berhubung aktiviti penyeludupan dadah.

Katanya, tangkapan itu susulan daripada perancangan operasi melalui maklumat risikan berkenaan aktiviti penyeludupan dadah.

“Hasilnya, kita berjaya mengesan sebuah bot gentian kaca berwarna biru tanpa nombor pendaftaran yang keluar dari Jeti Nelayan Sungai Belankan, Tanjung Rhu bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek berusia 27 dan 31 tahun itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia selepas mengejar bot dinaiki kedua-dua lelaki warga tempatan itu pada jarak 1.1 batu nautika dari Sungai Belankan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Selangor, hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut ke atas bot terbabit menemui sebuah guni mengandungi dadah yang disimpan dalam tong ikan berwarna jingga.

“Apabila disiasat, ia adalah dadah jenis syabu seberat 23 kilogram yang dibungkus dalam 22 bungkusan plastik lut sinar bernilai RM3.45 juta,” katanya.

Mohd Zubil berkata, bot berkenaan disyaki cuba menyeludup keluar dadah ke negara jiran.

Artikel Berkaitan:

“Bot menggunakan enjin sangkut 60 kuasa kuda memecut sebaik menyedari kehadiran bot ronda penguat kuasa.

“Bagaimanapun, selepas 15 minit mengejar, kita berjaya memintas dan menahan bot suspek. Suspek cuba melawan namun ketangkasan anggota kita berjaya meredakan keadaan,” katanya.

Katanya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai jika disabit kesalahan.

“Salah seorang suspek turut mempunyai rekod lampau di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya.