Saya dah ada wang, tak payah rasuah, kata Tengku Adnan

Tengku Adnan (dua dari kiri) beredar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sejurus selesai bela diri hari ini.
Tengku Adnan (dua dari kiri) beredar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sejurus selesai bela diri hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau tidak memerlukan rasuah sebanyak RM2 juta memandangkan sudah pun memiliki aset yang besar.

Menurutnya, beliau mempunyai sumber kewangan yang kukuh menerusi hasil perniagaan dalam sektor hartanah, pembalakan, pembuatan, perdagangan, pertanian, perhotelan, ternakan dan makanan.

“Ketika saya menyertai Kabinet untuk kali pertama sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2001, saya buat Perisytiharan Aset dan ia disusuli pada 2006 (ketika menjawat Menteri Pelancongan), 2013 (Menteri Wilayah Persekutuan) serta 2016.

“Bukan mahu bermegah tetapi saya isytihar harta bagi menyatakan yang saya sangat selesa dari segi kewangan,” katanya ketika membaca penyataan saksi perbicaraan tuduhan menerima rasuah sebanyak RM 2juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2016 lalu.

Tengku Adnan yang bertindak selaku saksi pertama untuk membela diri terhadap dakwaan rasuah RM2 juta berkata, wang RM2 juta yang didepositkan ke akaun Tadmansori Holdings Sdn Bhd merupakan sumbangan politik untuk kegunaan UMNO dan bukan untuk kepentingan peribadi.

Beliau berkata, ketika ini banyak pihak berasa cemburu dan mahu melihat kejatuhan Tadmansori Holdings Sdn Bhd.

ARTIKEL BERKAITAN: Prosiding bela diri Ku Nan esok ditangguh 17 Januari

Bukan itu sahaja katanya, mereka memburukkan imej perniagaannya sedangkan mereka tidak menyedari, Tadmansori Holdings Sdn Bhd mempunyai asas yang kukuh.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 Januari tahun lalu, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Tengku Adnan, 69, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau juga menghadapi pertuduhan lain atas dakwaan menerima suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon melalui cek milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur diluluskan oleh DBKL.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013.

“Bukan mahu bermegah tetapi saya isytihar harta bagi menyatakan yang saya sangat selesa dari segi kewangan,” katanya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan turut menghadapi pertuduhan pilihan iaitu didakwa menerima wang berjumlah RM1 juta yang merupakan barangan berharga daripada Tan tanpa sebarang balasan melalui cek ke dalam akaun tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bersambung Isnin ini.