Rugi lebih RM5 juta ditipu tawaran projek kerajaan

Erie (kanan) bersama salah seorang lagi mangsa yang mahu dikenali Mizi menunjukkan sebahagian dokumen dan cek yang diserahkan suspek kepada mereka sebelum ini.
Erie (kanan) bersama salah seorang lagi mangsa yang mahu dikenali Mizi menunjukkan sebahagian dokumen dan cek yang diserahkan suspek kepada mereka sebelum ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tujuh individu mendakwa menjadi mangsa penipuan bekas ahli lembaga pengarah sebuah agensi umrah yang menawarkan pelbagai projek di bawah kerajaan negeri sejak tiga tahun lalu.

Tawaran itu menjanjikan keuntungan lumayan hingga mangsa terdiri daripada peniaga, penjawat awam, pekerja swasta mendakwa terpedaya dan kini terpaksa tanggung kerugian berjumlah lebih RM5 juta.

Salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Erie Mahat, 30, berkata, kerugian dialaminya sebanyak RM16,000 selepas dijanjikan dua projek iaitu membekal ikan bilis di beberapa pasar raya terpilih dan membekal beg umrah kepada agensi tersebut, Oktober lalu.

"Bagi projek membekal ikan bilis, dia memaklumkan yang bekalan ikan bilis itu diambil dari Kedah serta berjanji saya akan memperoleh keuntungan tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM3,000 seminggu.

"Untuk meyakinkan saya, dia menunjukkan sijil pendaftaran perniagaan dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selain menghantar gambar bungkusan tertera nama sebuah syarikat berdaftar.

"Untuk projek membekalkan beg umrah pula, dia berjanji keuntungan akan dibahagi dua iaitu antara saya dengan syarikat dia," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui hari ini.

Peniaga itu mendakwa, dia hanya menyedari ditipu lelaki dikenali setahun lalu itu selepas menerima beberapa keping cek sebuah bank tidak wujud yang bernilai RM28,000.

"Saya mula curiga selepas diberi pelbagai alasan tidak logik setiap kali ditanya mengenai wang dijanjikan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya makin yakin diri ditipu selepas dia terus menghilangkan diri selain berjumpa dengan rakan senasib yang turut menceritakan tentang suspek menipu mereka," katanya.

Erie menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu semalam.
Erie menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu semalam.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mizi, 31, mendakwa kerugian lebih RM10,000 selepas ditawarkan projek pembersihan di sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 2, Ajil selepas dijanjikan kontrak dua tahun dan projek pertukaran wang asing.

Selain itu, seorang lagi mangsa yang menjalankan perniagaan sewa kenderaan mendakwa kerugian hampir RM100,000 selepas suspek melarikan diri dan tidak membayar hutang tertunggak beberapa jenis kereta mewah yang disewa.

"Sebelum ini, dia memang selalu menyewa kereta-kereta mewah dengan syarikat saya dan biasanya dia akan menyewa selama sebulan malah pernah juga setahun.

"Pada mulanya saya tidak mencurigai apa-apa tetapi selepas dia tidak membayar kos sewa selain mendapat tahu dia menggunakan kenderaan saya untuk berjumpa mangsa ditipunya, saya mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena," katanya.

Difahamkan modus operandi digunakan suspek kepada semua mangsanya adalah sama iaitu menawarkan projek di bawah jabatan kerajaan negeri dengan menjanjikan keuntungan lumayan.

Bagi meyakinkan mangsa, suspek yang berperwatakan alim dan menggunakan kenderaan mewah disewanya dipercayai menunjukkan surat atau dokumen sokongan tertera logo atau nama jabatan terlibat.

Sementara itu,Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada tiga individu sejak semalam.