Majikan perlu benarkan pekerja mengundi esok: SPR

Azhar Azizan Harun -Foto Bernama
Azhar Azizan Harun -Foto Bernama
A
A
A

KIMANIS - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan setiap majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk pergi mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis esok.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, mana-mana majikan yang menghalang pekerja mereka untuk pergi mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Majikan boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun jika sabit kesalahan,” katanya satu dalam kenyataan di sini hari ini.

Azhar turut mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat sehingga jam 11.59 malam ini.

Menurutnya, selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung semasa hari mengundi,” katanya.

Sebanyak 19 pusat mengundi dan 68 saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian dengan sebanyak 650 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian PRK Kimanis. Seramai 29,619 pengundi bakal mengundi pada PRK itu esok.

Ketika ditemui di pusat penjumlahan rasmi undi bagi PRK Parlimen Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort di sini hari ini, Azhar berkata, pelbagai penambahbaikan pilihan raya diperkenalkan SPR selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas bagi memudahkan pengundi dan meningkatkan ketelusan proses pengundian.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penambahbaikan itu boleh dilihat dalam 10 pilihan raya kecil yang berlangsung sejak PRU14 lepas, termasuk di PRK Parlimen Kimanis sekarang.

ARTIKEL BERKAITAN: 29,619 pengundi Kimanis mengundi esok

Menurutnya, ia termasuk penambahbaikan seperti pemilihan mata pen lebih besar untuk proses mengundi dan siaran langsung proses pengundian atau 'live streaming' menerusi Facebook SPR.

“Selain itu, SPR juga ada menambah jumlah saluran dan mengurangkan masa menunggu untuk mengundi. Kita juga ada menyediakan tempat menunggu khas sebelum giliran mereka masuk mengundi,” katanya.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin. - Bernama