Dikejar dengan kapak gara-gara pujuk abang

Kapak yang digunakan suspek ketika mengejar adiknya dalam kejadian petang semalam.
Kapak yang digunakan suspek ketika mengejar adiknya dalam kejadian petang semalam.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki bertindak agresif lalu mengejar adiknya dengan kapak ketika mangsa cuba memujuk abangnya itu yang mengamuk secara tiba-tiba dalam kejadian di sebuah kampung di Penaga di sini petang, semalam dipercayai berpunca akibat tekanan perasaan selepas mengalami kegagalan rumah tangga.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, lelaki berusia 35 tahun itu dikatakan merosakkan pelbagai barang serta perabot di dalam rumahnya selain mengugut mahu membakar rumah jiran.

Bimbang keadaan menjadi lebih buruk, adik lelaki itu yang berusia 22 tahun cuba memujuk dan menenangkan abangnya namun lelaki berkenaan bertindak lebih agresif dengan mengambil kapak lalu mengejar mangsa hingga sejauh kira-kira 20 meter.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, adik lelaki tersebut yang mujur berjaya melarikan diri sempat menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu sekali gus mendapatkan bantuan.

Noorzainy berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah SPU diketuai oleh Asisten Superintenden Mohd Yusof Ibrahim bergegas ke tempat kejadian bagi mengawal keadaan.

"Hasil siasatan pihak polis mendapati, kejadian ini bukan kali pertama berlaku kerana suspek dikatakan kerap mengamuk dipercayai berpunca daripada tekanan perasaan selepas dia bercerai dengan isterinya sejak tahun lalu dan telah mengalami kemurungan.

"Lelaki berkenaan berjaya ditangkap dan polis telah merampas sebilah bilah kapak yang digunakan oleh suspek semasa kejadian,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Noorzainy berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap suspek mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah malah lelaki itu juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lelaki berkenaan kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.