AGC bantah permohonan Najib dan Shafee singkir Sri Ram

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pejabat Peguam Negara membantah permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang memohon kebenaran mahkamah untuk menyingkir lantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes-kes yang dihadapi mereka.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi pihak Najib selepas prosiding dalam kamar Hakim Datuk Azizah Nawawi yang turut dihadiri peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee dan peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan.

Muhammad Shafee memaklumkan, permohonan kebenaran itu difailkan beliau dan Najib secara berasingan namun sebahagian alasan yang dikemukakan sama.

Sehubungan itu Muhammad Shafee berkata, kes tersebut kemungkinan besar akan didengar bersama di hadapan hakim itu.

Sementara itu, Muhammad Shafee menjelaskan antara lain mereka mengemukakan alasan bahawa pelantikan Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan ketika masih mempunyai sijil amalan sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya.

"Seseorang pendakwa raya tidak boleh dilantik ketika beliau masih bertindak sebagai peguam biasa. Ianya berbeza dengan lantikan Datuk Sulaiman Abdullah dan lantikan saya sebagai pendakwa raya ketika mengendalikan kes liwat 2 Datuk Seri Anwar Ibrahim," jelasnya.

Harvinderjit Singh pula memaklumkan, secara ringkas, sekiranya Sri Ram meneruskan peranannya sebagai pihak pendakwaan ianya menggugat Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu Shamsul berkata pihaknya mengemukakan bantahan susulan pemohon-pemohon telah mengemukakan permohonan itu di Mahkamah Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 29 Januari ini untuk prosiding mendengar permohonan itu.

Dalam permohonan yang difailkan secara berasingan bulan lalu, Najib dan Muhammad Shafee selaku pemohon menemakan Peguam Negara/Pendakwa Raya; kerajaan Malaysia dan Sri Ram selaku responden.

Antara lain mereka menuntut perintah mahkamah untuk menolak keputusan Peguam Negara untuk tidak mengemukakan surat pelantikan Sri Ram sebagai Ketua Timbalan Pendakwa Raya.

Mereka juga menuntut perisytiharan bahawa surat lantikan itu ultra vires, tidak sah dan terbatal selain perintah untuk membatalkan lantikan itu.

Selain itu, mereka menuntut perisytiharan terdapat konflik kepentingan dalam lantikan tersebut serta perintah untuk melarang Sri Ram daripada terus mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes dihadapi mereka termasik kes rasuah, salah guna jawatan dan pengubahan wang haram selain kos dan relif lain yang sesuai.

Pada 13 September 2018 Shafee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan menerima wang RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Razak hasil aktiviti pengubahan wang haram serta membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Najib, 66, didakwa dengan empat tuduhan bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.