67 filem layak bersaing Festival Filem Malaysia ke-31

Antara filem yang tercalon dalam Festival Filem Malaysia ke-31.
Antara filem yang tercalon dalam Festival Filem Malaysia ke-31.
A
A
A

SEBANYAK 67 filem tempatan layak bersaing bagi merangkul pelbagai anugerah dalam Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang akan diadakan di Encore Melaka, Melaka pada 18 April depan.

Jawatankuasa Penyertaan dan Penjurian FFM31, Rozita Waty Ridzuan berkata, jumlah itu terbahagi kepada lima format iaitu filem dalam bahasa Malaysia (35), Mandarin dan Kantonis (15), Tamil (12), lain-lain bahasa (satu) dan filem animasi (empat).

"Penganjuran tahun ini mempertandingkan 32 kategori antaranya Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan buat pertama kali mewujudkan kategori Tatarias Terbaik.

"FFM31 kali ini juga memperkenalkan semula kategori Dokumentari Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Filem Cereka Animasi Terbaik dan Filem Digital Terbaik," katanya pada sidang media FFM31 di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Gerald Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Antara filem yang layak bertanding ialah Sangkar, Misteri Dilaila, Amazing Spring, Supermum, Ghora, Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal dan Ejen Ali The Movie.

FFM31 turut akan menyampaikan enam anugerah khas yang tidak dipertandingkan antaranya Karyawan Sepanjang Zaman, Penggiat Belakang Tabir dan Filem Box-Office.

Hans Isaac
Hans Isaac

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hans Isaac berkata, FFM31 yang bertemakan 'Inspirasi Sinemaku: Tanpa Sempadan' sebagai simbolik untuk memberi semangat kepada setiap pengkarya tanah air terus menghasilkan filem yang berkualiti bukan sahaja demi negara, malah di peringkat antarabangsa.

Malam penganugerahan tersebut akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123), manakala majlis perasmiannya akan diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya melalui siaran langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 9 April ini. - Bernama