X

Kindly register in order to view this article
!

Ketahui Al-Malhamah Al-Kubra, antara tanda besar hari kiamat

DARI kiri, Muhammad Lukman dan Badli Shah diberi tanggungjawab mengupas tentang Al-Malhamah Al-Kubra di TV Alhijrah pada jam 7.30 malam ini.
A
A

ANTARA tanda-tanda akhir sebelum berlakunya kiamat adalah peperangan besar yang dinamakan Al-Malhamah Al-Kubra. Ia menyaksikan peperangan umat Islam menentang tentera salib.

Menyingkap maksud perkataan Al-Malhamah, ia berasal daripada kalimah lahm yang bermaksud daging. Perkataan itu turut merujuk kepada peperangan yang mengakibatkan banyak kematian.

Apabila kalimah Al-Malhamah digandingkan dengan kalimah Al-Kubra, ia membawa maksud peperangan besar yang mengakibatkan begitu banyak kematian.

Sesungguhnya, ia akan berlaku pada akhir zaman nanti dan merupakan tanda-tanda besar hari kiamat. Ketahuilah bahawa peristiwa penting itu banyak disebut dalam hadis Rasulullah SAW dan diriwayatkan oleh ramai ulama hadis.

Perincian lanjut mengenai Al-Malhamah Al-Kubra bakal dikupas menerusi rancangan Al-Qariah yang bersiaran di TV Alhijrah pada jam 7.30 malam ini.

Dua panel terkemuka, Datuk Badli Shah Alauddin dan Dr Muhammad Lukman Ibrahim diberi tanggungjawab untuk mengupasnya.

Bahagian Kandungan TV Alhijrah dalam satu kenyataan kepada Sinar Islam berkata: "Selain Al-Malhamah Al-Kubra, ia turut dipanggil 'perang dunia terbesar'. Ada juga pendapat yang memberikan istilah perang itu sebagai Armageddon."

Apa jua istilah yang digunakan, terdapat perbezaan dengan rujukan Kristian terutama tentang perincian dan pemahaman penganut agama berkenaan.

"Meskipun ia merujuk kepada sebuah peperangan yang besar pada akhir zaman, agama Kristian menganggap kemenangan bakal berpihak kepada mereka.

"Armageddon itu diambil daripada perkataan Ibrani yang bermaksud Bukit Megiddo (kini dipanggil Al-Majidiyyah) di Palestin berdekatan Baitulmaqdis iaitu tempat berlakunya peperangan tersebut.

"Ia jelas berbeza dengan Al-Malhamah Al-Kubra menurut Islam yang mana peristiwa itu akan berlaku di A'maq atau Dabiq. Kedua-dua tempat berkenaan berdekatan dengan Halab, Syria dan juga Antakia, Turki sebagaimana perkhabaran baginda Nabi Muhammad SAW," jelas kenyataan berkenaan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Al-Malhamah Al-Kubra, orang ramai diajak menonton topik berkenaan dalam episod 3, program bual bicara Al-Qariah.

Al-Qariah antara lain membincangkan perihal tanda-tanda besar hari kiamat itu mula menemui penonton pada setiap hari Jumaat bermula 3 Januari lalu dan bersiaran selama 16 episod sehingga 17 April ini.

Pada masa sama, jangan lepaskan peluang untuk menyertai kuiz yang dianjurkan dan menangi hadiah menarik yang ditawarkan.

Jawab satu soalan daripada setiap episod dan kumpulkan semua jawapan hingga episod 16. Sila hantar penyertaan dan butiran diperlukan kepada pihak penganjur.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus