X

Kindly register in order to view this article
!

'Wabak di Wuhan, China tidak dilaporkan di Malaysia. Influenza terkawal' - KKM

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memastikan langkah pencengahan dan kawalan mengenai penyakit ini dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa.
A
A

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM) mengambil maklum data terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai wabak novel coronavirus yang dilaporkan di Wuhan, China.

Pada penghujung tahun lalu, pihak berkuasa China telah melaporkan mengenai satu kejadian kluster radang paru-paru (pneumonia) yang tidak diketahui punca jangkitannya, melibatkan masyarakat setempat di Wuhan, China.

Pihak berkuasa China juga telah melaporkan kepada WHO pada 5 Januari bahawa jangkitan tersebut bukanlah jangkitan influenza, avian flu, adenovirus, Middle East Respiratory Syndrome coronavirus (MERS-CoV) ataupun Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS).

Pada 12 Januari lalu, WHO telah mengesahkan bahawa wabak yang berlaku di Wuhan, China itu adalah disebabkan oleh jangkitan daripada coronavirus baharu (novel coronavirus).

Coronavirus baharu (novel coronavirus), strain baharu virus tersebut yang sebelum ini tidak pernah dikenalpasti atau dikesan pada manusia.

Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan medianya semalam, memaklumkan cara jangkitan dan cara penularan novel coronavirus tersebut adalah masih dalam siasatan.

"Sehingga kini, sebanyak 41 kes radang paru-paru (pneumonia) yang dilaporkan di Wuhan, China adalah positif novel coronavirus. Daripada jumlah itu, satu kematian telah dilaporkan dengan tujuh kes berada dalam keadaan yang kritikal," jelasnya.

Pada minggu lalu, Thailand telah melaporkan kes import pertama novel coronavirus. Kes merupakan seorang wanita yang berasal dari Wuhan, China yang dikesan dengan gejala demam dan jangkitan radang paru-paru (pneumonia). Pesakit berada dalam keadaan stabil.

WHO memaklumkan bahawa insiden itu sedang dipantau rapi. Bagaimanapun pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan untuk pergi ke negara yang terlibat.

"Untuk makluman, berdasarkan kepada pemantauan yang dijalankan, buat masa ini, tiada kes yang disyaki novel coronavirus dilaporkan di KKM," ujarnya lagi.

Antara langkah-langkah yang yang akan terus dilaksanakan bagi menghadapi potensi penularan penyakit itu adalah:

1. Anggota KKM di semua peringkat termasuk Pintu Masuk Antarabangsa Negara dimaklumkan berkaitan kejadian kluster itu dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi.

2. Memberi penekanan dan memperkukuhkan aktiviti saringan demam sedia ada dalam kalangan pengembara oleh anggota-anggota yang bertugas di pintu masuk antarabangsa negara.

3. Pemeriksaan akan dilakukan semula di pusat kuarantin kesihatan atau tempat pemeriksaan yang terletak di pintu masuk antarabangsa negara kepada pengembara yang dikesan mengalami demam dan mempunyai gejala.

4. Saringan pesakit di klinik kesihatan dan jabatan kecemasan hospital diperkukuhkan bagi memastikan kes-kes yang disyaki akan dirujuk dan dikendalikan dengan mematuhi langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi

5. Seseorang yang mengalami gejala penyakit respiratori akut dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari Wuhan, China, dinasihatkan agar pergi ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk menjalani pemeriksaan.

6. Sekiranya terdapat kes disyaki yang dikesan dari mana-mana fasiliti kesihatan, kes perlu dilaporkan atau dinotifikasi dengan segera kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) KKM.

7. Memperkukuhkan keupayaan bagi menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan novel coronavirus. Untuk makluman, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) merupakan makmal sedia ada yang berkeupayaan untuk menjalankan ujian tersebut.

8. Anggota KKM dinasihatkan untuk menggunakan personal protective equipment (PPE) dan simpanan stok (stockpile) bagi PPE serta ubat-ubatan bagi menghadapi wabak perlu dipastikan mencukupi untuk menampung keperluan di fasilti kesihatan masing-masing.

9. KKM akan sentiasa bekerjasama rapat dengan semua agensi yang berkaitan secara berterusan bagi memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan respons KKM bagi menghadapi potensi penularan jangkitan dalam Malaysia.

Sehubungan itu, berdasarkan maklumat di atas, KKM menegaskan bahawa situasi jangkitan influenza yang dilaporkan di Malaysia sekarang tiada kaitan dengan kejadian novel coronavirus di Wuhan, China dan situasi influenza adalah terkawal.

KKM akan terus memantau situasi kejadian penyakit radang paru-paru dan sebarang perkembangan daripada pihak WHO akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sumber:Kementerian Kesihatan Malaysia.