‘Datuk Abhy’ umpan beri gaji lumayan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dikenali sebagai ‘Datuk Abhy’ diberkas polis di rumahnya di Kajang, Selangor semalam selepas disyaki terbabit dalam kejadian rogol dengan memperdaya mangsa menggunakan aplikasi Bigo Live.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, lelaki berusia lewat 40-an itu ditahan pada jam 2 petang tadi susulan laporan polis oleh seorang pelajar perempuan yang mendakwa dirogol oleh suspek di sebuah rumah kedai di Bandar Baru Bangi, Selasa lalu.

“Mangsa yang berusia belasan tahun mengenali suspek melalui aplikasi Bigo Live dan menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji lumayan kepada mangsa sebagai pembantu peribadi. Namun, suspek mengambil kesempatan merogol mangsa,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, polis turut menerima satu lagi laporan kes rogol pada Isnin lalu serta menyiasat beberapa kes rogol lain dengan modus operandi sama, dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek.

“Kes masih lagi dalam siasatan dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan permohonan reman akan dibuat mahkamah di Kajang pagi esok (hari ini),” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu atau mana-mana kejadian yang melibatkan modus operandi sama boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat iaitu Inspektor Noorlaila Kairudin di talian 019-2299906 atau menghubungi balai yang terdekat. - Bernama

Artikel Berkaitan: