Tak sempat 'melaram' Myvi curi

Gambar kenderaan curi yang berjaya ditahan semula dalam tempoh beberapa jam tular di media sosial.
Gambar kenderaan curi yang berjaya ditahan semula dalam tempoh beberapa jam tular di media sosial.
A
A
A

YAN - Seorang lelaki tidak sempat 'melaram' kenderaan hasil curi setelah ditahan sebaik sahaja melarikan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari Gunung Jerai, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, kejadian berlaku apabila pemilik kenderaan meletakkan keretanya di ruang tempat letak kereta dekat kaki Gunung Jerai sebelum naik menghala ke puncak pada jam 4.30 petang.

Menurutnya, apabila turun dua jam kemudian, mangsa mendapati kenderaan Myvi hitam itu hilang dipercayai dicuri.

"Sebaik sahaja menerima maklumat, kita telah menggerakkan operasi bagi mengesan suspek.

"Hasil rondaan pasukan polis telah mengesan kenderaan terbabit sedang menghala ke arah Yan.

"Apabila dihampiri, kenderaan terbabit dipandu suspek dalam keadaan laju dan membahayakan dari arah Tanjung Jaga ke arah pekan Sungai Yan.

"Kita berjaya memintas suspek ketika sampai di pekan Sungai Yan. Bagaimanapun, kenderaan tersebut telah hilang kawalan dan terbabas dan melanggar sebuah kereta jenis Proton Saga yang diparkir di bahu jalan," katanya.

Beliau berkata, suspek berusia 24 tahun dari Gurun, Kedah berjaya ditahan dan kenderaan dinaiki dirampas.

Artikel Berkaitan:

Katanya, akibat kejadian tersebut, kereta pasukan polis mengalami kerosakan dan kemik di tepi pintu sebelah penumpang hadapan dan belakang akibat dilanggar suspek, namun ia merupakan satu kejayaan apabila kes dapat diselesaikan dalam tempoh hanya beberapa jam.

Difahamkan, adegan kejar-mengejar antara suspek dan pihak polis turut menjadi tumpuan memandangkan lokasi kejadian berdekatan tapak pasar malam sehingga menyebabkan kesesakan dan tular di media sosial.

Shahnaz berkata, hasil semakan ke atas suspek mendapati dia memiliki rekod lampau berkaitan pecah rumah, ragut, khianat, curi dan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.