Usah risau, perut anak tidak ‘berkeroncong’ lagi

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KEPUTUSAN Kementerian Pendidikan meneruskan Program Sarapan Pagi (PSP) 2020 di sekolah-sekolah terpilih mulai pada 20 Januari ini adalah satu langkah tepat.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan PSP untuk murid sekolah rendah tetap diteruskan mulai 20 Januari ini namun dikhususkan kepada kumpulan pelajar yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata, tidak adil sekiranya mereka yang berkemampuan juga menjadi penerima program bantuan itu.

Adalah diakui oleh banyak pakar bahawa sarapan itu amat penting sebelum memulakan aktiviti seharian kerana ia membekalkan tenaga sepanjang hari untuk lebih cergas dan produktif.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan menjelaskan pelaksanaan PSP untuk murid sekolah rendah dibuat secara berfasa dengan tumpuan kepada sekolah yang mempunyai ramai murid daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Pelaksanaan program itu dikatakan akan memberi manfaat kepada 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan.

Bagi fasa pertama, PSP 2020 memberi manfaat kepada 37,000 orang murid dari 100 buah sekolah rendah seluruh negara dengan anggaran kos RM22 juta.

Kos pelaksanaannya dianggarkan RM22 juta. PSP berkonsepkan Grab ‘n’ Go yang menyediakan menu seperti minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat lain serta makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih, sandwic dan buah-buahan.

Artikel Berkaitan:

Langkah nekad kementerian dan kerajaan kepada golongan sasaran ini diharap dapat dimanfaatkan oleh murid-murid supaya mereka dapat mengikuti proses pembelajaran dengan lebih baik dan berkesan.

Secara tidak langsung, ibu bapa yang kurang berkemampuan boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu lagi khuatir atau sedih kerana perut anak mereka kini tidak ‘berkeroncong’ lagi apabila berada di sekolah.

Bagaimanapun, dalam melaksanakan program ini, pihak kementerian khasnya harus memastikan insiden makanan rosak ataupun keracunan tidak berlaku.