Menjadi Negara Sukarelawan

A
A
A

Kesukarelaan ialah istilah yang sering menjadi bualan para aktivis sosial. Malah semua NGO yang tersenarai dalam pendaftaran pertubuhan ialah badan yang pada asasnya digerakkan atas semangat sukarela. Ribuan NGO bergerak atas dasar sukarela para aktivis dan pendokongnya.

Kesukarelaan sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting dalam mendepani cabaran global seperti urbanisasi, kerosakan alam, migrasi, dan perubahan demografi. Akan tetapi dalam dunia yang lebih memberi keutamaan kepada politik ‘infrastruktur kesukarelaan’ iaitu sokongan yang diperlukan untuk memaksimumkan potensi kesukarelaan, ia masih belum diberi perhatian seperti yang diharapkan.

Kesuburan budaya kesukarelaan sangat bergantung kepada polisi dan peraturan yang menyokong kepada persekitaran yang lebih sihat untuk menggalakkan kerja sukarela.

Dengan wujudnya insentif dan perlindungan yang mencukupi, semangat dan motivasi kesukarelaan akan lebih menyerlah. Apabila skim yang kondusif diwujudkan, ia akan memperkasa masyarakat awam untuk menyertai pembangunan komuniti dengan lebih segar dan dimotivasi oleh semangat sukarela.

Sehingga hari ini nama Malaysia dikenali antara negara yang cemerlang melaksanakan kerja kemanusiaan sama ada di lokasi konflik mahupun bencana alam. Beberapa NGO Malaysia bergerak aktif dalam menyalurkan bantuan dan rehabilitasi kemanusiaan di Palestin, Syria, Yemen, Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Sudan, Somalia.

Menjadi sukarelawan perlu suatu tahap disiplin. Ia tidak boleh dilakukan secara sambil lewa kerana setiap bakti yang dicurahkan perlu berkesan, berterusan dan berpanjangan.

Dengan pelbagai usaha sukarela yang wujud di negara ini sudah sampai masanya suatu rencana mengangkat agenda menjadikan negara sebagai Negara Sukarelawan sebagai agenda nasional. Menghimpun dan menarik masyarakat menyertai kerja sukarela sangat baik. Akan tetapi menguruskan sukarela secara profesional sangat diperlukan.‘Malaysia Negara Sukarelawan’ ialah jenama negara yang perlu dibangunkan.

egara perlu diangkat kepada imej yang menampilkan budaya kesukarelaan yang paling cemerlang. Bukan sahaja budaya sukarela perlu disemarakkan, malah ia perlu diuruskan layak sebagai negara paling tersusun dan paling profesional dalam menonjolkan ciri sebuah negara yang memiliki rakyat yang intim dengan budaya sukarela.

Artikel Berkaitan:

Sudah sampai masanya kesukarelawanan diprogramkan sebagai agenda yang tersusun dan diintegral dalam membina negara. Rakyat yang berbudaya sukarela sangat perlu didedahkan kepada ilmu dan latihan kemahiran yang dapat ditauliah sebagai sukarelawan yang berketrampilan.

Harus ada institusi yang khusus untuk menyediakan kaedah latihan dan pengukuhan gerak kerja sukarelawan negara. Walaupun ada inisiatif sendiri dalam kalangan NGO melatih sukarelawan masing-masing namun adalah lebih kemas dan teratur jika suatu skima yang standard dapat diwujudkan.

Malaysia berpotensi untuk menjadi negara yang cemerlang melahirkan sukarelawan berketrampilan. Apa yang perlu ialah fasilitasi daripada pihak kerajaan menyambut gerak kerja pelbagai NGO untuk melahirkan sukarelawan yang berwibawa.

Harus menjadi idaman semua bahawa Malaysia perlu maju melahirkan budaya dan disiplin kesukarelawan terbaik di dunia. Bermakna negara ini punya keupayaan untuk melahirkan dan mengurus sukarelawan dengan sangat sistematik dan profesional.

Secara langsung manfaat kepada belanjawan negara juga sangat jelas. Dengan efisiennya sukarelawan berkarya dalam dunia kesukarelawanan, banyak perbelanjaan kerajaan dapat dijimatkan. Kerja gotong-royong dan menjaga keamanan sosial, kebajikan dan penguatkuasaan undang-undang boleh disantuni dengan tidak berbelanja besar sebab wujudnya budaya sukarela dalam kalangan rakyat.