Mikhail Mishustin PM baharu Rusia

Pencalonan Mishustin yang dibuat Putin mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen Rusia. - FOTO: AGENSI
Pencalonan Mishustin yang dibuat Putin mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen Rusia. - FOTO: AGENSI
A
A
A

MOSCOW - Mikhail Mishustin hari ini disahkan sebagai Perdana Menteri baharu Rusia oleh Parlimen selepas Presiden Vladimir Putin mencadangkan nama bekas Ketua Perkhidmatan Cukai Persekutuan terbabit sebagai calon menggantikan Dmitry Medvedev yang meletak jawatan bersama Kabinet semalam.

Ketika proses pengundian itu dibuat, 383 ahli Parlimen menyokong pencalonan Mishustin, namun 41 anggota Parti Komunis mengambil keputusan berkecuali.

Mishustin juga berjanji untuk melakukan rombakan besar Kabinet yang bakal menyaksikan wajah baharu dalam kalangan para menteri.

Semalam, beliau turut mengadakan mesyuarat bersama ahli Parlimen di Duma Negara (Dewan Rendah Parlimen Rusia).

Terdahulu, parti pemerintah Rusia, Parti Bersatu sebulat suara meluluskan pencalonan Mikhail Mishustin yang dipilih Putin sebagai Perdana Menteri baharu negara itu.

Pembantu kepada Speaker Parlimen, Anastasia Kashevarov mengumumkan keputusan itu menerusi media sosial menjelang proses undian rasmi di Parlimen.

Difahamkan, Putin memilih beliau selepas Medvedev dan Kabinet meletak jawatan secara tiba-tiba.

Medvedev yang memegang jawatan itu sejak 2012 membuat keputusan mengejutkan tersebut selepas Putin mencadangkan satu siri pembaharuan Perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, keputusan pengundurannya bagi memberi ruang kepada Presiden untuk melaksanakan reformasi tersebut.

Susulan itu, Putin mengarahkan kerajaan untuk memikul tanggungjawabnya sehingga kerajaan baharu dibentuk.

Pemimpin tersebut turut menawarkan Medvedev untuk memegang peranan yang mengawasi hal ehwal keselamatan dan pertahanan dalam Majlis Keselamatan baharu.

Mishustin, 53, dilahirkan di Moscow pada 1966 dan menjadi kakitangan awam pada 1998 selepas beliau menyertai Perkhidmatan Cukai Negara Rusia yang kemudiannya diubah menjadi Kementerian Cukai dan Levi.

Pada 2008, Mishustin berpindah ke sektor perniagaan dan menjadi Ketua United Financial Group (UFG) yang merupakan salah sebuah bank pelaburan terbesar di Moscow.

Beliau kemudian memegang jawatan Ketua Pihak Berkuasa Cukai Persekutuan Rusia pada 2010. - Agensi