Pairin berbohong berhubung PRSS: Shafie Apdal

Mohd Shafie Apdal (kanan) menunjukkan dokumen minit mesyuarat Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang asing di Sabah kepada penduduk kampung ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis di Kampung Bambangan, Membakut hari ini. - Foto: Bernama
Mohd Shafie Apdal (kanan) menunjukkan dokumen minit mesyuarat Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang asing di Sabah kepada penduduk kampung ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis di Kampung Bambangan, Membakut hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KIMANIS - Tindakan Tan Sri Pairin Kitingan menyatakan cadangan pelaksanaan Pas Residen Sementara Sabah (PRSS) bukan daripada Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah yang dipengerusikannya sebelum ini membuktikan beliau melakukan pembohongan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan terdapat minit mesyuarat jawatankuasa berhubung perkara tersebut pada Mac 2016 yang dipengerusikan Pairin ketika itu sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan turut dihadiri antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Sukiman, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun dan Peguam Negeri, Datuk Mariati Robert.

"Saya tidak reka dan cipta. Kalau saya bohong ini faktanya. Minit mesyuarat ini mereka yang buat," katanya sambil menunjukkan dokumen minit mesyuarat itu kepada pemberita selepas majlis pelancaran Unifi Telekom Malaysia di Pekan Bongawan dekat sini hari ini.

Mohd Shafie diminta mengulas ucapan Pairin pada satu majlis anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) di Kimanis malam tadi yang menyatakan cadangan pelaksanaan PRSS tidak dibincangkan oleh jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan beliau.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) turut mengulangi keputusan kerajaan untuk melaksanakan Pas Sementara Sabah (PSS) dengan beberapa penambahbaikan daripada cadangan kerajaan terdahulu.

"Ini usaha yang dicadangkan oleh pemerintahan dahulu bukan semua (cadangan) kita tolak. Mana yang baik kita tambah baik. Itu pendekatan mengatasi masalah pendatang tanpa izin tetapi jangan putarbelitkan kata tiada minit mesyuarat," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri memperkenalkan PSS berkonsepkan sementara berbanding cadangan kerajaan sebelum ini mahu menggunakan PRSS seolah-olah memberikan residen tetap kepada pemegang IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung berjumlah 136,055 yang berdaftar.

Katanya, pengeluaran PSS juga dapat menangani kegiatan pemalsuan dokumen kerana menggunakan sistem biometrik menggunakan imbasan mata.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau berkata, dengan ciri-ciri keselamatan tersebut dapat mengatasi kegiatan pemalsuan tiga dokumen itu oleh sindiket.

Pada September tahun lepas, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan keputusan itu berkata pengeluaran PSS adalah bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung. - Bernama