Polis selesai rekod keterangan Latheefa

Twitter Latheefa
Twitter Latheefa
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya selesai memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan rakaman audio konspirasi dipercayai milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor bersama lima yang lain, hari ini.

Turut direkod keterangan adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki bersama lima pegawainya yang lain kira-kira jam 2.45 petang.

Proses merakam keterangan itu mengambil masa hampir empat jam.

Difahamkan, pasukan siasatan itu diketuai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman.

Dalam pada itu, Latheefa menerusi ciapan twitternya berkata, beliau memberikan kerjasama sepenuhnya membantu pihak polis dalam siasatan kes tersebut.

"Saya, Datuk Seri Azam dan pegawai yang lain telah memberikan keterangan kepada pihak polis berhubung isu audio. Kami memberikan kerjasama sepenuhnya dalam kes ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan kehadiran pihaknya ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

"Siasatan berhubung perkara itu sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 218 Kanun Keseksaan, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, 10 pegawai D5 Bukit Aman tiba di pekarangan Ibu Pejabat SPRM pada jam 2.20 petang menaiki tiga Proton Preve.

Pada 8 Januari lalu, Latheefa dalam sidang medianya mendedahkan sembilan rakaman audio konspirasi jenayah tertinggi melibatkan rakaman perbualan telefon termasuk bekas Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan beberapa individu lain.

Perbualan itu berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.